Seperti Melukut Di Tepi Gantang

Maksud : Seseorang yang dipandang remeh sebab tiada berkuasa apa-apa. Ayat Contoh : Pada masa dahulu, wanita seperti melukut di tepi gantang dalam lapangan politik kerana mereka dianggap tidak mampu menjadi pemimpin.

Seperti Menangkap Ular Di Ekornya

Maksud : Cuba mengalahkan musuh yang cerdik dengan cara yang salah akhirnya kitalah yang binasa. Ayat Contoh : Adnan yang mahu mengalahkan musuhnya dengan menggunakan kekerasan, seperti menangkap ular di ekornya kerana musuhnya itu sangat pandai bermain senjata.

Seperti Menanti Orang Dahulu, Mengejar Orang Kemudian

Maksud : Perbuatan yang sia-sia. Ayat Contoh : Ketika muzik rock sedang memuncak, Awiey menerbitkan lagu-lagu berentak irama asli, ketika nasyid digemari ramai dia menerbitkan lagu rock pula. Dia seperti menanti orang dahulu, mengejar orang kemudian menyebabkan lagu-lagu terbitannya tidak pernah mendapat sambutan di pasaran.

Seperti Mendapat Gagak Putih

Maksud : Perolehan yang bertuah dan jarang diperoleh orang. Ayat Contoh : Hanum seperti mendapat gagak putih apabila diisytiharkan sebagai pengunjung ke sejuta di pasar raya yang baru dibuka itu dan dihadiahkan sebuah kereta.

Seperti Mengerat Dengan Gunting Galir

Maksud : Orang yang malas dan bodoh tidak akan sempurna pekerjaannya. Ayat Contoh : Zubir diminta supaya menjemput semua orang kampung ke majlis doa selamat di rumah Haji Aiman. Walau bagaimanapun, dia yang malas dan bodoh itu menjemput penduduk kampung yang ditemuinya di kedai kopi sahaja. Kerja yang dibuatnya seperti mengerat dengan gunting galir.

Seperti Mengilang Manau

Maksud : Sesuatu masalah yang sangat sukar. Ayat Contoh : Ketika pemerintahan Jepun di Tanah Melayu, tentera-tenteranya mengerah penduduk tempatan menebang pokok getah untuk ditanam dengan padi. Usaha itu tentulah seperti mengilang manau kerana padi tidak subur sekiranya ditanam di tempat yang kering.

Seperti Meniup Api Di Atas Air

Maksud : Melakukan perbuatan yang hampir tiada harapan akan berhasil. Ayat Contoh : “Dengan kelulusan yang tidak seberapa ini, usahlah kau bermimpi untuk menjadi juruterbang. Cita-cita engkau itu hanyalah seperti meniup api di atas air,” sindir Alias kepada Ahmad.