Tak Akan Lari Gunung Dikejar, Hilang Kabus Nampaklah Ia

Maksud : Tidak perlu tergesa-gesa untuk mengerjakan sesuatu yang pasti diperoleh. Ayat Contoh : Usah tergesa-gesa untuk berkahwin dengan gadis itu sebelum mendapat kerja tetap, bukankah dia sudah menjadi tunangmu dan sanggup menunggu, tak akan lari gunung dikejar, hilang kabus nampaklah ia.

Tak Akan Terlawan Buaya Menyelam

Maksud : Orang bodoh tidak akan dapat melawan orang yang pandai. Ayat Contoh : Kalau jahil tentang hukum-hukum agama, usahlah berdebat dengan ulama yang sudah penuh ilmu di dada kerana tak akan terlawan buaya menyelam.

Tak Beban Batu Digalas

Maksud : Mendapat kesusahan kerana mencampuri urusan orang lain. Ayat Contoh : Ummi Salmiah melihat kesusahan kawannya yang banyak anak itu kerana mereka tidak dipedulikan oleh suaminya. Kini dia pula terpaksa membela anak-anak kawannya itu, begitulah kalau tak beban batu digalas.

Tak Berberas Untuk Ditanak

Maksud : Tidak mempunyai kepandaian atau kemahiran untuk ditunjukkan kepada orang. Ayat Contoh : Maimunah mengatakan bahawa dia tak berberas untuk ditanak apabila kawan-kawannya meminta dia mempersembahkan sebarang bakat dalam pesta keramaian itu.

Tak Berpucuk Di Atas Enau

Maksud : Sangat sombong dan memandang rendah terhadap orang lain. Ayat Contoh : Disebabkan anak-anaknya mempunyai kelulusan dari luar negara, Puan Hasnah sentiasa memandang rendah kepada orang lain yang merupakan lulusan universiti tempatan, tak berpucuk di atas enau.

Tak Boleh Bertemu Roma

Maksud : Selalu bertelingkah. Ayat Contoh : Sejak berselisih faham tentang harta pusaka, kedua-dua beradik itu tak boleh bertemu roma. Kalau bersua pasti berlaku pertengkaran.

Tak Emas Bungkal Diasah

Maksud : Segala daya upaya dilakukan untuk mencapai maksud. Ayat Contoh : Cita-cita Zahid hendak memperisterikan Badariah bukan angan-angan kosong. Dia akan berusaha sedaya upaya untuk memikat gadis itu meskipun terpaksa menghabiskan harta bendanya, tak emas bungkal diasah.

Takkan Cempedak Berbau Nangka

Maksud : Selidiklah betul-betul sebelum mempercayai kata orang. Ayat Contoh : Engkau nampak sendiri perangai sumbang bakal menantu engkau itu, jadi lebih baik selidik dahulu sebelum percaya akan kata-katanya bahawa dia seorang guru agama kerana takkan cempedak berbau nangka.

Takkan Harimau Makan Anaknya

Maksud : Marah bapa terhadap anak tidak akan sampai membunuhnya. Ayat Contoh : Usahlah berdendam dengan ayah yang sering marah dan pernah memukul kerana tindakannya itu untuk mendidik kamu kerana takkan harimau makan anaknya.