Yang Dijemput Tak Datang, Yang Menjemput Tak Kembali

Maksud : Keuntungan yang dicari tidak dapat sedangkan modal yang sedia ada susut atau tidak kembali sama sekali. Contoh Ayat : Kasihan Aaron, sudahlah perniagaanya tidak menguntungkan malah modal yang dipinjam daripada bank turut hangus, yang dijemput tak datang, yang menjemput tak kembali.

Yang Dikejar Tak Dapat, Yang Dikendong Berciciran

Maksud : Keuntungan yang diharap tidak didapati dan yang telah ada lesap pula. Contoh Ayat : Fahmi meletakkan jawatan sebagai guru kerana mahu bertanding pilihan raya, malangnya dia tewas dan terpaksa menjadi penggangur, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Yang Disangka Tidak Menjadi, Yang Diam Boleh Ke Dia

Maksud : Orang lain yang berikhtiar orang lain pula yang memungut hasilnya. Ayat Contoh : Sebenarnya Azalina yang bersungguh-sungguh menubuhkan persatuan bekas pelajar sekolah ini, tetapi orang lain yang mendapat hasil dan nama daripada penubuhan tersebut, yang disangka tidak menjadi, yang diam boleh ke dia.

Yang Disuruh Tenggelam, Yang Menyuruh Pun Tenggelam

Maksud : Orang yang lebih malas disuruh mengerahkan (mengawasi) orang yang malas, sia-sia belaka akhirnya. Contoh Ayat : Apabila Si Zambry diberi tugas mengawasi para tukang kebun yang pemalas itu, akhirnya kawasan sekolah itu menjadi kebun yang tidak bertebas. Begitulah kalau yang disuruh tenggelam, yang menyuruh pun tenggelam.

Yang Elok Budi Yang Indah Bahasa

Maksud : Budi bahasa yang baik itulah yang mampu menyelamatkan jiwanya. Ayat Contoh : Budak itu akhirnya dibebaskan oleh lanun-laun yang menculiknya apabila ketua penjahat itu tertarik oleh budi bahasanya yang begitu baik, yang elok budi yang indah bahasa.

Yang Enggang Sama Enggang Juga, Yang Pipit Sama Pipit Juga

Maksud : Perkahwinan dan sebagainya eloklah dengan yang sama pangkat atau kedudukan Ayat Contoh : Tan Sri Johari enggan merestui percintaan anaknya dengan seorang pemuda kampung yang dianggap tidak setaraf dengan keluarganya yang kaya-raya dan berkedudukan tinggi. Baginya yang enggang sama enggang juga, yang pipit sama pipitnya juga.

Yang Hampa Biar Terbang, Yang Bernas Biar Tinggal

Maksud : Yang tidak berguna itu biarlah hilang tetapi yang baik itu biarlah kekal. Ayat Contoh : Saya gempira apabila kawan-kawan yang menyusahkan itu berpindah dari rumah ini. Kini tinggal kawan yang baik sahaja yang masih di sini, yang hampa biar terbang, yang bernas biar tinggal.