Yang Hidup Sesarkan Mati

Maksud : Tiap-tiap sesuatu itu ada batasnya dan ada pula penggantinya. Ayat Contoh : “Adinda, usahlah bersedih dengan kematian ayahanda kita itu, kerana yang hidup sesarkan mati,” kata Khaled kepada adiknya

Yang Jauh Berpanggilan, Yang Dekat Berimbauan

Maksud : Jauh diundang dengan surat, dekat cukup diundang dengan mulut sahaja. Ayat Contoh : Kad-kad jemputan untuk sanak saudara dan kawan yang tinggal jauh sudah dihantar. Manakala yang dekat dijemput sahaja dengan mulut untuk menghadiri kenduri di rumah Puan Nancy. Bak kata pepatah, yang jauh berpanggilan, yang dekat berimbauan.

Yang Jauh Tak Terjelang, Yang Dekat Tak Ditandangi

Maksud : Sudah terlalu uzur Ayat Contoh : Selepas dimasukkan ke hospital untuk kali yang kesepuluh, ayah sudah tidak mampu untuk menjenguk kebunnya di Raub yang jauhnya 60 kilometer dari rumah, malah untuk keluar rumah pun dia tidak larat, yang jauh tak terjelang, yang dekat tak tertandangi.

Yang Lahir Menunjukkan Yang Batin

Maksud : Gerak-geri dan tingkah laku seseorang itu menunjukkan isi hatinya. Ayat Contoh : Tingkah laku yang lucah dan pakaian yang mencolok mata menggambarkan seseorang itu mempunyai hati dan fikiran yang kotor kerana yang lahir menunjukkan yang batin.

Yang Lupa Ketinggalan, Yang Lelap Kemalingan

Maksud : Orang yang lalai akan kerugian Ayat Contoh : Saifudin kerugian berpuluh-puluh ribu ringgit apabila rumahnya yang ditinggalkan tanpa berkunci dimasuki pencuri. Benarlah kata orang, yang lupa ketinggalan, yang lelap kemalingan.

Yang Makan Lada Jugalah Yang Berasa Pedas

Maksud : Seseorang yang telah melakukan perkara atau kesalahan akan marah apabila mendengar sindiran orang lain. Ayat Contoh : Apabila mendengar beberapa orang kakitangan bercakap-cakap tentang ada pegawai naik pangkat kerana bodek dan ampu, Rafizi naik marah dan berasa disindir, yang makan lada jugalah yang berasa pedas.

Yang Menanti Padang Tak Berumput, Yang Mendatan Kurus Kedut-Kedut

Maksud : Orang yang lapar meminta pertolongan kepada orang yang melarat Ayat Contoh : Pengemis itu singgah di rumah Pak Taqiuddin untuk meminta makanan tetapi Pak Taqiuddin tidak daapt memberikan apa-apa kerana dia sendiri terpaksa meminta belas ihsan orang lain untuk mendapatkan sesuap nasi, yang menanti padang tak berumput, yang mendatang kurus kedut-kedut.