Walau Disepuh Emas Lancung, Kilat Tembaga Tampak Juga

Maksud : Bagaimana sekalipun diajar, orang yang biadab akan kelihatan juga perangainya yang kurang baik Ayat Contoh : Imam Zahid mengajar Akmal tentang adab dalam majlis tetapi pemuda itu berkelakuan baik seketika sahaja. Selepas itu, sikap biadabnya timbul semula, walau disepuh emas lancung, kilat tembaga tempak juga.

Walaupun Ada Umpan Belum Tentu Ada Ikan

Maksud : Sesuatu pekerjaan itu walaupun telah ada persediaan yang cukup, tetapi belum tentu akan berhasil dengan baik. Ayat Contoh : Dzukifli menghabiskan wang yang banyak untuk menambah barang di kedai runcitnya tetapi pelanggan tetap tidak datang kerana kedudukan kedai itu tidak strategik, walaupun ada umpan, belum tentu ada ikan.

Walaupun Diam Dalam Lautan Garam Sekalipun, Ikan Tetap Tidak Akan Masin

Maksud : Orang yang ada waja diri, tidak dapat dipengaruhi oleh persekitaran. Ayat Contoh : Nur Izzati tinggal bersama-sama dengan kawan-kawan yang tidak pernah bersembahyang serta sering bergelumang dengan maksiat, tetapi dia masih kekal dengan pendiriannya yang tidak mengabaikan suruhan dan larangan Allah, walaupun diam dalam lautan garam sekalipun, ikan tetap tidak akan masin.

Wayang Kepadaman Damar

Maksud : Keadaan kacau yang terjadi dengan tiba-tiba. Ayat Contoh : Keadaan keluarga Datuk Ghazali menjadi wayang kepadaman damar apabila beliau diserang angin ahmar secara tiba-tiba dan meninggal dunia tanpa sempat meninggalkan wasiat tentang hartanya yang banyak itu.

Wau Putus Tali

Maksud : Orang yang hidup tanpa pedoman atau tiada pegangan hidup. Contoh Ayat : Kehidupan Nurul yang baru memeluk agama Islam itu menjadi seperti wau putus tali apabila diceraikan oleh suaminya yang selama ini tidak pernah mengajarnya tentang agama.

Yang Bengkok Juga Yang Dimakan Sarung

Maksud : Orang yang bersalah atau dihukum. Ayat Contoh : Walaupun banyak pelajar sekolah yang berada di pasar raya itu, namun beberapa orang sahaja yang ditangkap polis kerana mereka disyaki terlibat dengan pergaduhan, yang bengkok juga yang dimakan sarung.