Yang Berhutang Terjerat Di Kaki, Yang Menjamin Terjerat Di Leher

Maksud : Orang yang menjamin orang berhutang terpaksa membayar hutang tersebut kerana yang dijamin tidak dapat membayarnya ataupun melarikan diri. Contoh Ayat : Encik Najib tidak senang duduk apabila menerima notis daripada bank kerana orang yang dijaminnya tidak membayar hutang bank tersebut. Begitulah yang berhutang terjerat di kaki, yang menjamin terjerat di leher.

Yang Berpayung Yang Ditembak

Maksud : Jikalau anak buah yang bersalah tentulah yang akan dituntut ketuanya; orang yang berkuasalah tempat meminta pertolongan. Contoh Ayat : Apabila Fahmi didapati bersalah mencuri di kampung seberang, ketua kampungnya terpaksa datang untuk membayar ganti rugi, yang berpayung yang ditembak.

Yang Bulat Datang Bergolek, Yang Pipih Datang Melayang

Maksud : Keuntungan atau kemewahan datang daripada pelbagai punca; orang yang bertuah mendapat keuntungan dari mana-mana sahaja. Contoh Ayat : Alangkah bertuahnya anak-anak golongan berada kerana tanpa susah payah dapat menikmati kemewahan yang melimpah-ruah daripada ibu bapa mereka, yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang.

Yang Dahulu Mendapat Yang Kemudian Ketinggalan

Maksud : Pengganti yang sekarang lebih bodoh daripada yang digantikan. Contoh Ayat : Kasihan Encik Nga, selepas dia memecat pengurus akaun dan digantikan dengan pengurus baru, keadaan kewangan syarikatnya semakin parah. Rupa-rupanya yang dahulu mendapat, yang kemudian ketinggalan.