Adakah Buaya Menolak Bangkai

Maksud : Orang yang jahat tidak akan meninggalkan kesempatan untuk berbuat jahat. Ayat Contoh : Apabila melihat peluang untuk menipu mangsanya, dia terus mengambil kesempatan kerana adakah buaya menolak bangkai, sikap buruknya memang sukar diubah.

Adakah Dari Telaga Yang Jernih Itu Mengalir Air Yang Keruh?

Maksud : Tidak mungkin orang yang berpendidikan melakukan perkara-perkara keji atau mengeluarkan kata-kata kotor. Ayat Contoh : Semua orang terkejut mendengar tuduhan itu kerana adakah dari telaga yang jernih itu mengalir air yang keruh, sedangkan beliau terkenal sebagai seorang guru yang berakhlak mulia dan berpekerti tinggi.

Adakah Duri Dipertajamkan?

Maksud : Perselisihan tidak patut diruncingkan lagi. Ayat Contoh : Perselisihan faham antara Fatimah dengan Salimah tidak patut diruncingkan lagi dengan membawa pelbagai cerita yang menyakitkan hati kerana adakah duri dipertajamkan?

Ada Pasang Surutnya

Maksud : Hidup ini tidak pernah lari daripada untung dan rugi. Seketika untung dan pada masa yang lain rugi. Begitulah sebaliknya, jika pernah rugi, pasti akan ada untung.