Seperti Durian Menunjukkan Pangsa

Maksud : Orang yang gemar menunjukkan kebesaran dirinya. Ayat Contoh : Anak bongsu Puan Halimah memang suka berlagak dengan kereta mewahnya, terutamanya kepada kawan-kawan sekolahnya yang tidak berkemampuan. Dia memang seperti durian menunjukkan pangsa.

Seperti Emas Baru Disepuh

Maksud : Peri keelokan seorang perempuan. Ayat Contoh : Wajah Radin Mas Ayu puteri Majapahit yang seperti emas baru disepuh itu telah memikat hati sesiapa sahaja termasuklah Sultan Mansur Syah dari Melaka.

Seperti Gading Dilarik

Maksud : Rupa yang cantik dan bersih. Ayat Contoh : Semua tetamu yang menghadiri majlis itu terpesona oleh kejelitaan anak gadis Encik Aslan yang seperti gading dilarik itu.

Seperti Gadis Sudah Berlaki

Maksud : Anak dara yang kurang sopan seperti mencarut dan sebagainya. Ayat Contoh : Zainun dikatakan seperti gadis sudah berlaki kerana dia suka mencarut, terutamanya apabila bertengkar dengan kawan-kawannya.

Seperti Gagak Bersuara Murai

Maksud : Seseorang yang hodoh tetapi mempunyai suara merdu dan tutur kata yang menarik. Ayat Contoh : Penyanyi Negro yang berkulit hitam dan rupanya yang tidak menarik itu diminati di seluruh dunia kerana mempunyai suara yang merdu dan pandai mengambil hati peminat. Dia seperti gagak bersuara murai.

Seperti Gagak Gonggong Telur

Maksud : Lelaki hodoh atau hitam beristerikan wanita cantik atau putih. Ayat Contoh : Cinta tidak mengenal sesiapa. Oleh sebab itulah Rozana yang cantik dan putih itu sanggup menerima Vidor pemuda Afrika yang berkulit hitam sebagai suaminya. Walaupun mereka digelar seperti gagak gonggong telur namun rumah tangga mereka bahagia hingga hari ini.