Seperti Gajah Berpaling

Maksud : Kepayahan orang gemuk untuk berpusing ke belakang. Ayat Contoh : Apabila Kak Nurin mahu memasak, dia memerlukan pembantu untuk mengunjukkan barang-barang yang diperlukan kerana kegemukannya itu menyukarkan dia bergerak pantas di ruang dapur yang sempit itu. Dia seperti gajah berpaling.

Seperti Gajah Masuk Kampung

Maksud : Seseorang yang melakukan sesuka hatinya. Ayat Contoh : Tentera MPAJA dan komunis bertindak seperti gajah masuk kampung sebaik sahaja tentera Jepun menyerah kalah dan meninggalkan Tanah Melayu.

Seperti Gajah Putih Ditambat

Maksud : Seseorang yang menyusahkan kerana sara hidupnya ditanggung. Ayat Contoh : Anak-anak yang sudah tamat persekolahan perlu diajar bekerja agar mereka tidak seperti gajah putih ditambat.

Seperti Garuk Dengan Sisir

Maksud : Hal dua orang bersaudara tetapi berbeza sifatnya. Ayat Contoh : Siew Lin seorang yang pendiam dan suka menghabiskan masa di rumah dengan membaca dan menolong ibu di dapur, berbeza daripada kakaknya yang suka berkawan serta menggemari aktiviti lasak di luar. Mereka seperti garuk dengan sisir.

Seperti Gergaji Dua Mata

Maksud : Orang yang mendapat keuntungan daripada dua pihak. Ayat Contoh : Kalau terjadi peperangan antara India dengan Pakistan, peperangan itu hanya menguntungkan kuasa-kuasa besar yang bertindak seperti gergaji dua mata dengan membekalkan senjata kepada kedua-dua pihak.

Seperti Gunting Makan Di Hujung

Maksud : Mencapai sesuatu dalam diam-diam. Ayat Contoh : Senyap-senyap sahaja Victor berjaya mengurangkan pengaruh rakan-rakannya dan kini dia merupakan seorang yang sangat berpengaruh dalam syarikat itu. Dia seperti gunting makan di hujung.

Seperti Halilintar Membelah Bumi

Maksud : Bunyi yang sangat kuat. Ayat Contoh : Serangan Portugis terhadap Melaka dengan menggunakan meriam-meriam besar menggemparkan rakyat negeri itu yang sangat hairan akan senjata tersebut yang tidak tajam tetapi dapat membunuh serta bunyinya seperti halilintar membelah bumi.

Seperti Harimau Beranak Muda

Maksud : Orang yang sangat bengis. Ayat Contoh : Ketua lanun itu dikatakan seperti harimau beranak muda kerana sangat bengis serta tidak mempunyai perasaan belas kasihan terhadap mangsa-mangsanya.

Seperti Harimau Kena Kucing Pekak

Maksud : Marah bercampur takut kerana bahaya yang menimpanya. Ayat Contoh : Bob sangat marah apabila mengetahui keluarganya telah dianiaya oleh kumpulan lanun itu tetapi dia juga berasa takut akan musibah itu kerana tidak mempunyai kekuatan untuk melawan. Dia seperti harimau kena kucing pekak.

Seperti Harimau Lepas Tangkap

Maksud : Marah dan bengis. Ayat Contoh : Sebaik-baik sahaja dapat melepaskan diri daripada pengganas-pengganas di hutan itu, Ibrahim menjadi seperti harimau lepas tangkap dengan mengebom dan menembak semua pengganas tersebut.