Seperti Harimau Menyembunyikan Kuku

Maksud : Orang yang pandai dan berilmu tidak menunjukkan kepandaiannya. Ayat Contoh : Buyung amat pandai bersilat dan bermain senjata tetapi dia tidak pernah menunjukkan ilmunya itu kepada sesiapa selagi keadaan tidak memaksa. Sikapnya seperti harimau menyembunyikan kuku.

Seperti Haruan Makan Anak

Maksud : Bapa atau ketua yang memperkosa anak atau anak buah sendiri. Ayat Contoh : Kisah bapa yang seperti haruan makan anak memang jarang-jarang terjadi tetapi kejadian itu bukan perkara luar biasa dalam masyarakat kita hari ini.

Seperti Helang Menyongsong Angin

Maksud : Gagah dan berani ketika menentang musuh. Ayat Contoh : Tentera Mujahidin di Afghanistan yang serba kekurangan itu seperti helang menyongsong angin kerana berani menentang tentera Rusia yang lengkap dengan senjata moden itu.

Seperti Hendak Meluruskan Ekor Beruk

Maksud : Sangat sukar menasihati orang yang degil. Ayat Contoh : Tindakan Puan Minah menasihati remaja yang suka melepak itu samalah seperti hendak meluruskan ekor beruk kerana pelbagai alasan diberikan untuk menghalalkan perbuatannya itu.

Seperti Hendak Menepung Tiada Berberas

Maksud : Pekerjaan yang dibuat dengan tidak cukup syarat, tidak akan sempurna. Ayat Contoh : Pak Cik Sabri mahu menanam padi dua kali setahun di sawahnya tetapi kawasan itu tidak mempunyai tali air. Usahanya itu seperti hendak menepung tiada berberas.

Seperti Ikan Berjodoh Dengan Ikan

Maksud : Pertemuan yang sangat sesuai. Ayat Contoh : Perkahwinan gadis dari Bosnia itu dengan pemuda senegaranya berlangsung di Malaysia. Pertemuan itu seperti ikan berjodoh dengan ikan kerana mereka sebangsa dan seagama.

Seperti Itik Mendengar Guntur

Maksud : Mengharapkan keuntungan yang belum tentu diperoleh. Ayat Contoh : Pekerja-pekerja itu sangat gembira apabila majikan mereka berjanji untuk memberikan bonus hari raya dan menaikkan gaji pada tahun hadapan. Mereka ternanti-nanti seperti itik mendengar guntur.

Seperti Kaca Terhempas Ke Batu

Maksud : Hati yang hancur kerana berdukacita. Ayat Contoh : Setelah bersungguh-sungguh menjaga kehormatan diri ketika menjadi tawanan raja Siam, Puteri Saadung pulang ke Kelantan untuk bersama-sama Raja Abdullah. Tetapi hatinya hancur seperti kaca terhempas ke batu apabila mendapati suaminya itu telah berkahwin lain.

Seperti Kacang Direndang

Maksud : Keadaan seseorang yang terlompat-lompat kerana kegembiraan. Ayat Contoh : Beberapa orang pelajar yang sedang menanti keputusan PMR di pejabat sekolah itu seperti kacang direndang apabila mengetahui mereka mendapat keputusan yang cemerlang.