Seperti Kain Dalam Lipatan

Maksud: Perihal perempuan yang pada zahirnya baik tetapi berbuat jahat secara diam-diam. Ayat Contoh: Johara memang benar-benar tidak sangka bahawa Kosma yang nampak baik itu sanggup menceritakan perkara yang bukan-bukan tentang dirinya kepada orang lain. Kosma seperti kain dalam lipatan.

Seperti Kain Kasa Di Atas Duri

Maksud : Perkara yang amat sukar untuk diselesaikan; harus sabar serta berhati-hati untuk menyelesaikannya. Ayat Contoh : Perbalahan antara semua anak dan menantu Pak Salleh kerana berebut harta pusaka sudah menjadi seperti kain kasa di atas duri. Oleh itu, orang yang mahu mendamaikan mereka perlulah bersabar dan bertindak dengan berhati-hati.

Seperti Kancah Ditawar

Maksud : Ternganga sahaja tanpa menyertai dalam perbincangan. Ayat Contoh : “Tiada gunanya Fatih dilantik untuk mengetuai kita kalau dia seperti kancah ditawar,” kata Munir kepada rakan-rakannya.

Seperti Kapal Tiga Tiang

Maksud : Gaya perjalanan seorang perempuan yang amat menarik. Ayat Contoh : Rozita bukan sahaja seorang perempuan yang lemah lembut tetapi gaya jalannya seperti kapal tiga tiang, lancar dan teratur langkahnya.

Seperti Kapur Di Hujung Telunjuk

Maksud : Perihal seseorang yang tidak dapat melakukan sesuatu pekerjaan atau menolong saudara-mara dalam kesusahan. Ayat Contoh : Umat Islam di seluruh dunia yang prihatin terhadap saudara seagama di Chechnya yang dizalimi oleh tentera-tentera Rusia merasakan diri mereka seperti kapur di hujung telunjuk kerana tidak mampu membantu.

Seperti Katak Kena Sembur

Maksud : Keadaan orang yang terkulat-kulat, tidak bercakap atau menjawab soalan. Ayat Contoh : Ghani kelihatan terkulat-kulat seperti katak kena sembur apabila dimarahi oleh ketuanya kerana tidak datang kerja tanpa sebab dan tidak memaklumkan hal itu terlebih dahulu.