Sumur Di Tepi Rawa

Maksud : Orang yang terlalu cemburu. Ayat Contoh : Nancy telah menukarkan imej selekehnya kepada kemas dan bergaya kerana bimbang akan suaminya terpikat oleh janda berhias yang baru menjadi jiran mereka. Dia dikatakan sumur di tepi rawa.

Sungai Sambil Mandi

Maksud : Selesai membuat dua tiga pekerjaan pada masa yang sama. Ayat Contoh : Fahmi turun ke sawah untuk membuang rumput di sawah padinya. Selain itu, dia juga mengutip siput yang boleh digulai dan menahan bubu di tali air. Dia sungai sambil mandi.

Sungai Tak Tentu Gaungnya

Maksud : Tidak tentu asal usulnya. Ayat Contoh : Memilih calon isteri atau suami bukan seperti membelek kain di kaki lima kerana seseorang itu perlu mengetahui asal usulnya, jangan terpilih sungai tak tentu gaungnya.

Sungguh Bersubang Tidak Berdara

Maksud : Wanita yang berpakaian elok tetapi buruk kelakuannya. Ayat Contoh : Wanita itu dikatakan sungguh bersubang tidak berdara kerana sering bertudung litup tetapi sikapnya seperti perempuan yang tidak bermoral.

Sungguh Diuja Dipegang Ekor

Maksud : Walaupun diberi kebebasan, namun ada hadnya. Ayat Contoh : Anak-anak remaja perlu diberi kebebasan untuk menentukan corak masa depan mereka tetapi ibu bapa perlu memberi bimbingan agar kebebasan tersebut ada batasnya, sungguh diuja dipegang ekor.

Sungguh Kawat Yang Dibentuk, Ikan Ditebat Yang Diadang

Maksud : Muslihat yang tersembunyi untuk mencari keuntungan diri sendiri. Ayat Contoh : Banyak jualan murah diadakan pada setiap musim perayaan tetapi tanpa disedari ada peniaga yang menipu pelanggan dengan menggunakan tawaran tersebut, sungguh kawat yang dibentuk, ikan ditebat yang diadang.

Sungguhpun Batang Merdeka, Ingat Pucuk Akan Terhempas

Maksud : Dalam melakukan sesuatu kerja, jangan suatu bahagian sahaja yang diingat, tetapi dari awal hingga akhir perlu diteliti. Ayat Contoh : Jangan berpendapat bahawa setelah kertas kerja itu mendapat pujian, tugas kita sudah selesai kerana masih banyak kerja yang perlu dibereskan lagi, sungguhpun batang merdeka, ingat pucuk akan terhempas.

Sungguhpun Lemak Santan Akhirnya Basi Juga

Maksud : Orang yang cantik itu akhirnya akan tua juga. Ayat Contoh : Usah kesal kalau tiada syarikat filem yang mahu mengambil kamu berlakon lagi kerana zaman gemilang awak telah berlalu apabila meningkatnya usia, sungguhpun lemak santan akhirnya basi juga.