Telur Hari Ini Lebih Daripada Anak Ayam Besok

Maksud : Pendapatan hari ini lebih baik daripada pendapatan hari esok. Ayat Contoh : Sawah itu memberikan hasil lumayan kepada petani-petani, tetapi sawah tersebut telah dijadikan projek kolam ikan dan projek itu terbengkalai, maka tiada lagi hasil yang diperoleh, telur hari ini lebih daripada anak ayam besok.

Telur Sesangkak, Pecah Satu Pecah Semua

Maksud : Bersatu hati dalam semua hal, rela sama-sama binasa. Ayat Contoh : Penduduk di daerah Jeram, Pasir Puteh sanggup bergadai nyawa untuk bersama-sama Tok Janggut bagi menentang serangan Inggeris. Mereka ibarat telur sesangkak, pecah satu pecah semua.

Teman Ketawa Senang Didapati, Teman Menangis Sukar Dicari

Maksud : Mudah sahaja untuk mendapatkan kawan semasa kita senang tetapi sukar mencari teman yang sanggup menderita ketika susah. Ayat Contoh : Ketika perniagaannya maju, Wee dikelilingi oleh kawan-kawan tetapi apabila dia bankrap akibat kegawatan ekonomi, tiada seorang pun kawannya yang sanggup bertanyakan khabar apatah lagi untuk menolongnya, teman ketawa senang didapati, teman menangis sukar … Read more

Tempat Berpijak Sudah Terban, Tempat Bergantung Sudah Putus

Maksud : Kehilangan tempat menumpang hidup. Ayat Contoh : Tuk Hassan yang tiada anak itu tidak mempunyai sesiapa lagi untuk dia menumpang hidup apabila isterinya meninggal dunia. Anak angkatnya pula tidak mempedulikan dia lagi setelah mendapat harta yang banyak, tempat berpijak sudah terban, tempat bergantung sudah putus.

Tempayan Tertiarap Di Air

Maksud : Orang yang tetap degil meskipun sering dinasihati. Ayat Contoh : Sudah tidak ada sesiapa lagi di kampung ini yang mahu menasihati Danish kerana dia sudah menjadi tempayan tertiarap di air.

Tempayan Yang Penuh Airnya Itu Tidak Berkocak Airnya

Maksud : Orang yang berilmu tidak suka bermegah-megah diri. Ayat Contoh : Walaupun Rafizi seorang yang bijak dan banyak pengetahuannya dalam pelbagai bidang tetapi dia tidak suka bermegah-megah dengan kelebihan yang ada padanya itu, tempayan yang penuh airnya itu tidak berkocak airnya.

Tenang-Tenang Menghanyutkan

Maksud : Diam-diam tetapi berbahaya. Ayat Contoh : Shaari kelihatan pendiam tetapi sebenarnya dialah yang menjadi perancang dan pemimpin dalam kumpulan samseng yang sering menimbulkan kekacauan di sini, tenang-tenang menghanyutkan.