Terikat Kaki Tangan

Maksud : Tidak bebas dan tidak berkuasa lagi. Ayat Contoh : Rahman sudah terikat kaki tangan apabila dihukum buang daerah kerana menjadi pengedar ubat batuk kepada penagih-penagih dadah.

Terjatuh Dihimpit Jenjang

Maksud : Berturut-turut ditimpa kesusahan. Ayat Contoh : Riduan bukan sahaja tertipu akibat membeli tanah paya dengan harga yang mahal, malah terpaksa membayar kadar bunga yang tinggi kerana berhutang daripada ceti untuk membeli tanah tersebut. Dia diibaratkan terjatuh dihimpit jenjang.

Terkantung-Kantung Macam Biduk Patah Kemudi

Maksud : Sengsara di rantau orang dan tiada orang yang akan menolong. Ayat Contoh : Abdul Rahman hidup terkantung-kantung macam biduk patah kemudi setelah kakinya putus akibat kemalangan di tempat kerja manakala untuk kembali ke negaranya dia tidak berwang.

Terkejar-Kejar Bagai Kucing Jatuh Anak

Maksud : Tergopoh-gapah kerana sesuatu kesusahan. Ayat Contoh : Setiap pagi, sebelum ke tempat kerja, Takiuddin akan terkejar-kejar bagai kucing jatuh anak kerana terpaksa menghantar anak-anaknya ke taman asuhan dan ke sekolah.

Terkena Buku Buluh

Maksud : Kerana terlalu memilih, akhirnya mendapat sesuatu yang buruk. Ayat Contoh : “Aku sangkakan setelah bertahun-tahun memilih, isteri yang kau dapat tentulah mengalahkan puteri, rupa-rupanya terkena buku buluh,” kata Ahmad kepada Maslan.

Terkena Pada Ikan Bersorak, Terkena Pada Batang Masam

Maksud : Orang mencari kawan kerana mahukan keuntungan sahaja dan tidak mahu susah atau rugi; dapat untung riang, jika rugi berasa pula marah. Ayat Contoh : Hidup berkawan bukanlah semata-mata semasa senang sahaja kerana kita perlu juga sama-sama menanggung susah. Janganlah bersikap terkena pada ikan bersorak, terkena pada batang masam.

Terkilat Ikan Di Air Sudah Kutahu Jantan Betinanya

Maksud : Orang yang bijaksana segera tahu akan tinggi rendahnya ilmu seseorang itu melalui gerak-gerinya dan sangat cekap mengetahui makna percakapan orang. Ayat Contoh : Apabila pemuda tersebut datang meminta halal kerana termakan sedikit buah delima yang hanyut di sungai, tuan empunya kebun delima itu dapat mengetahui pemuda itu seorang yang warak dan sesuai untuk … Read more

Terlalai Menjemput Pencuri

Maksud : Oleh sebab lalai maka seseorang itu sering mengalami kerugian. Ayat Contoh : Pihak polis tidak jemu-jemu menasihati orang ramai agar mengunci kenderaan mereka meskipun ditinggalkan untuk jangka waktu yang singkat kerana terlalai menjemput pencuri.