Ubat Jauh Penyakit Hampir

Maksud : Seseorang yang dalam kesusuhan dan sukar untuk mendapat pertolongan. Ayat Contoh : Ketika berada jauh di rantauan pastilah banyak dugaan dan kesulitan terpaksa dihadapi kerana sukar mendapatkan bantuan daripada sanak saudara, ubat jauh penyakit hampir.

Ubur-Ubur Airnya Hitam

Maksud : Orang yang jahat nyata pada kelakuan dan perkataanya. Contoh Ayat : Syefura menolak pinangan itu kerana dia dapat mengagak bahawa lelaki yang datang meminang anaknya itu jahat kerana ubur-ubur airnya hitam.

Ucap Habis Niat Sampai

Maksud : Sesuatu hasil diperoleh dengan cepat kerana dilaksanakan dengan segera selepas dikatakan. Ayat Contoh : Bakhtiar berasa gembira bertugas di daerah itu kerana para pekerjanya sangat patuh dan semua arahannya segera ditunaikan, ucap habis niat sampai.

Udang Dalam Tangguk

Maksud : Sangat susah hati; gelisah. Ayat Contoh : Syerlina yang tidak menyiapkan kerja sekolah yang disuruh oleh gurunya berkedaan seperti udang dalam tangguk.

Udang Hendak Mengatai Ikan

Maksud : Tidak insaf akan kekurangan diri sendiri; kesalahan orang nampak tetapi kesalahan sendiri tidak sedar. Ayat Contoh : “Kamu jangan menjadi udang hendak mengatai ikan dengan mengumpat jiran tetangga kerana kamu juga banyak berbuat kesalahan,” pesan ibu Hajar.

Udang Menjunjung Tahi

Maksud : Orang yang sentiasa dikekelilingi oleh hutang. Ayat Contoh : Hasbi dikatakan udang menjunjung tahi kerana sepanjang hayatnya dia sentiasa berhutang di sana sini sehingga tidak mampu untuk membayar hutang tersebut.

Ukur Baju Di Badan Sendiri

Maksud : Membuat sesuatu pekerjaan biarlah mengikut kebolehan dan kelayakan yang ada. Ayat Contoh : Mak Leha menasihati anaknya agar ukur baju di badan sendiri sebelum membeli kereta yang berharga mahal itu.

Ukur Mata Dengan Telinga

Maksud : Menurut penglihatan dan pendengaran Ayat Contoh : Athirah hanya ukur mata dengan telinga apabila menerima lamaran lelaki yang tampan dan pandai memujuk rayu itu tanpa mengkaji tentang asal-usul dan budi pekertinya terlebih dahulu.

Ular Bercampur Dengan Belut, Tak Akan Hilang Bisanya

Maksudnya : Penjahat jika bergaul dengan orang baik tidak akan berubah tabiatnya/ Contoh Ayat : Walaupun Abdullah Bin Ubai memeluk Islam tetapi dia sentiasa bercita-cita untuk menghancurkan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW kerana ular bercampur dengan belut, tak akan hilang bisanya.