Tukang Tidak Membuang Kayu

Maksud : Orang yang cerdik akan sayang kepada segala macam orang kerana setiap mereka itu ada gunanya. Contoh Ayat : Zaliha tetap memberi kasih sayang kepada anaknya yang cacat itu sama dengan anak-anaknya yang lain kerana dia tahu bahawa anak itu tetap akan berguna juga suatu hari nanti, tukang tidak membuang kayu.

Tumbuh Di Tanah Gembur

Maksud : Anak gadis daripada keluarga yang mewah Contoh Ayat : Syah ada menyimpan hati terhadap Zana tetapi dia tidak berani masuk meminang kerana bimbang ditolak oleh gadis yang tumbuh di tanah gembur ini.

Tumbuk Tanak Pada Awak Sendiri

Maksud : Badan sendiri yang menangani semua hal kehidupan Ayat Contoh : Tidak mungkin sampai bila-bila kamu boleh bergantung hidup pada ibu bapa kerana mereka sudah tua, suatu masa nanti kamu terpaksa tumbuk tanak pada awak sendiri.

Tunggal Berbeleng

Maksud : Yang hanya satu-satunya. Ayat Contoh : Apa-apa sahaja yang diingini akan dipenuhi oleh kedua-dua ibu bapa Sany kerana dia anak tunggal berbeleng.

Tunggang Hilang Berani Mati

Maksud : Sikap gagah berani atau tidak gentar dalam menjalankan tugas terutama untuk membela bangsa dan negara. Ayat Contoh : Leftenan Adnan dan pasukannya sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan negara daripada penjajahan Jepun. Mereka tunggang hilang berani mati.

Turutkan Rasa Binasa, Turutkan Hati Mati

Maksudnya : Orang yang menurutkan kemahuan nafsu akhirnya akan binasa. Ayat Contoh : Wahai orang muda sekalian, setiap manusia diberikan otak yang kedudukannya lebih tinggi daripada hati, oleh itu berfikirlah dahulu sebelum mengambil apa-apa tindakan kerana kalau turutkan rasa binasa, turutkan hati mati!