Tua-Tua Keladi, Makin Tua Makin Menjadi

Maksud : Orang tua yang kemuda-mudaan; orang tua yang banyak pengalaman. Ayat Contoh : Orang tua yang sedang duduk di tangga rumahnya dikatakan tua-tua keladi, makin tua makin menjadi kerana meskipun tua, tetapi dia mempunyai pengetahuan yang luas tentang hal-ehwal semasa serta menjadi tempat rujukan orang ramai.

Tua-Tua Telur Ayam

Maksud : Hanya tua sedikit sahaja Ayat Contoh : “Memanglah awak lebih tua daripada saya tetapi hanya tua-tua telur ayam sebab belum pun mencecah empat puluh tahun,” kata Sara kepada suaminya

Tuah Ayam Boleh Dilihat, Tuah Manusia Siapa Tahu?

Maksud : Tiada sesiapa pun yang dapat menentukan untung nasib seseorang itu. Ayat Contoh : Najib yang hidup merempat itu tiba-tiba menjadi kaya apabila tanahnya yang sekangkang kera itu dibeli dengan harga yang tinggi oleh sebuah syarikat perlombongan kerana disahkan mengandungi emas. Itulah yang dikatakan orang, tuah ayam boleh dilihat, tuah manusia siapa tahu?

Tuah Kerbau Gemuk, Tuah Lumbung Berisi, Tuah Manusia Semuafakat

Maksud : Keunggulan kerbau kerana gemuknya, keunggulan lumbung kerana isinya (kalau berisi padi), keunggulan manusia kerana muafakatnya. Ayat Contoh : Kemajuan yang dicapai oleh negara kita sekarang disebabkan oleh rakyatnya yang bersatu padu dan bermuafakat dalam menjaga keamanan, tuah kerbau gemuk, tuah lumbung berisi, tuah manusia semuafakat.

Tuah Melambung Tinggi, Celaka Menimpa Badan

Maksud : Mendapat kemalangan silih berganti; ditimpa kecelakaan yang besar. Ayat Contoh : Fatimah yang baru sahaja disahkan menghidap barah rahim oleh doktor telah diceraikan oleh suaminya yang mahu berkahwin lagi. Nasib Fatimah seperti tuah melambung tinggi, celaka menimpa badan.

Tuah Sebesar Bukit, Celaka Menimpa Badan

Maksud : Orang yang pandai tetapi tidak tetap pekerjaannya, oleh itu penghidupannya menjadi susah. Ayat Contoh : Suhaizan memiliki ijazah tetapi disebabkan dia sering bertukar-tukar pekerjaan, hidupnya tidak pernah senang hingga kini, tuah sebesar bukit, celaka menimpa badan.

Tuba Binasa Ikan Tak Dapat

Maksud : Pekerjaan yang sia-sia dan merugikan Contoh Ayat : Viviana berhabisan wang ratusan ribu ringgit bagi memancing undi, malangnya dia tewas juga dalam pilihan raya itu, tuba binasa ikan tak dapat.

Tujuh Kali Pindah Jadi Papa

Maksud : Pekerjaan yang tidak tetap akan mendatangkan kerugian. Contoh Ayat : Hassan tidak pernah kekal lama dengan sesuatu pekerjaan kerana dia mudah jemu. Keadaan itu menyebabkan dia tidak berpeluang untuk naik pangkat atau menyimpan harta. Bak kata orang, tujuh kali pindah jadi papa.