Santan Di Pasu, Hampas Pun Ke Tanah

Maksud : Dibuang sesudah tidak berguna. Ayat Contoh : Apabila badannya lumpuh separuh badan akibat kemalangan di tempat kerja dan tidak mampu bekerja lagi, Dadali dibuang kerja oleh majikannya. Nasibnya seperti santan di pasu, hampas pun ke tanah.

Sapu Baru Menyapu Bersih

Maksud : Aktiviti yang pantas atau cepat (rajin) pada permulaannya sahaja. Ayat Contoh : Sikap Emirah yang tidak pernah menyudahkan kerjanya itu seperti sapu baru menyapu bersih.

Sarak Itu Adik Mati

Maksud : Berasa mati kerana rindu akan seseorang. Ayat Contoh : Apabila anak yang sangat dikasihinya menghilangkan diri tanpa khabar berita, Qasidah menjadi seperti orang tidak siuman kerana terlalu merindui anaknya itu. Dia merasakan sarak itu adik mati.

Sarang Unam Dimasuki Ketam Menjadi Umang

Maksud : Barang atau orang yang sama jika berlainan keadaan dan tempatnya akan berlainan namanya. Ayat Contoh : Ketika berada di kampung, gadis itu dipanggil dengan nama Salina tetapi setelah bekerja di bandar dia mahu dikenali sebagai Sally, sarang unam dimasuki ketam menjadi umang.

Satu Detup, Sepuluh Rebah

Maksud : Seorang yang disindir semua yang hadir turut tersinggung. Ayat Contoh : Satu detup, sepuluh rebah apabila pengerusi menegur seorang ahli mesyuarat yang suka bercakap-cakap di belakang tetapi banyak yang terasa kerana kebanyakan mereka juga berbual dalam mesyuarat itu.

Satu Hadap Bagai Kukuran

Maksud : Orang yang mahir dalam satu pekerjaan sahaja. Ayat Contoh : Apabila lombong bijih timah terpaksa ditutup kerana harga logam itu terlalu rendah, Ip Man yang diberhentikan kerja terpaksa menganggur kerana dia hanya tahu menjadi pelombong, satu hadap bagai kukuran.

Satu Kata, Satu Perbuatan

Maksud : Kata yang sesuai dengan amalnya. Ayat Contoh : Meskipun Yunus seorang ketua yang pendiam, namun dia disegani oleh anak buahnya kerana apa-apa sahaja yang dikatakannya akan ditunaikan seperti satu kata, satu perbuatan.

Satu Nyawa, Dua Badan

Maksud : Sehidup semati (sahabat atau suami isteri). Ayat Contoh : Pasangan suami isteri yang hidup bahagia itu sama-sama meninggal dunia pada minggu yang sama kerana sakit tua. Mereka dikatakan satu nyawa, dua badan.

Satu Pintu Kalau Tertutup, Sepuluh Pintu Lagi Terbuka

Maksud : Orang yang mahir dalam pelbagai pekerjaan, kalau dibuang kerja masih ada peluang untuk membuat kerja lain. Ayat Contoh : Walaupun diberhentikan kerja, namun Raudhah mudah mendapat kerja yang lain kerana ijazah dan pengalamannya sangat diperlukan oleh syarikat kewangan yang lain. Bak kata orang, satu pintu kalau tertutup, sepuluh pintu lagi terbuka.