Sebagai Kera Mendapat Canggung

Maksud : Merapatkan diri kepada orang yang telah menolongnya. Ayat Contoh : Tukiman sebagai kera mendapat canggung apabila diberi jawatan yang baik di firma milik mentuanya lalu mengambil keputusan untuk tinggal bersama-sama dengan mentuanya yang kaya raya itu.

Sebagai Kunyit Dengan Kapur

Maksud : Mudah dan lekas mesra. Ayat Contoh : Meskipun baru pertama kali berjumpa, kanak-kanak di taman bimbingan kanak-kanak itu sebagai kunyit dengan kapur dan seolah-olah sudah kenal lama.

Sebagai Langau Di Ekor Gajah

Maksud : Selalu mengekor orang yang berkuasa. Ayat Contoh : Khairy dikatakan sebagai langau di ekor gajah kerana suka mengikut Datuk Jalal ke mana-mana sahaja dengan harapan diberikan sedikit habuan.

Sebagai Orang Mencacak Tonggak Saja

Maksud : Masing-masing diam tidak berkata-kata. Ayat Contoh : Bahari dan Khairy yang terserempak secara tidak sengaja dalam majlis itu diam sebagai orang mencacak tonggak saja kerana mereka telah berselisih faham sejak sekian lama.

Sebagai Terpijak Batu Hangat

Maksud : Sangat gelisah dan tidak tenang. Ayat Contoh : Apabila terdengar akan khabar angin bahawa cucunya yang bekerja di bandar terlibat dengan gejala sosial, Tuk Zizah yang tinggal di kampung sangat gelisah dan risau sebagai terpijak batu hangat.