Sayap Singkat Terbang Hendak Tinggi

Maksud : Hendak membuat sesuatu pekerjaan yang melebihi kemampuan. Ayat Contoh : Pak Fairuz jatuh sakit setelah mengerjakan tanah bendangnya yang luas itu seorang diri walaupun dia sudah tua. Begitulah kalau sayap singkat terbang hendak tinggi.

Sealak-Alak Beras Ada Penyalang

Maksud : Anggaran belanja yang secukup-cukupnya. Ayat Contoh : Aiman membawa wang ke pasar sealak-alak beras ada penyalang. Dengan itu, dia akan membeli barang yang mahu dibeli sahaja dan tidak membeli barang-barang yang tidak begitu diperlukan.

Sebab Berkelahi Dengan Perigi Akhirnya Mati Dahaga

Maksud : Jangan menentang orang yang berkuasa kerana kita juga yang akan mendapat kesusahan. Ayat Contoh : Ratu bergaduh dengan tuan rumah menyebabkan dia dihalau dari situ dan kini terpaksa merempat kerana tiada tempat tinggal. Bak kata orang, sebab berkelahi dengan perigi akhirnya mati dahaga.

Sebab Budi, Boleh Kedapatan

Maksud : Kelakuan sendiri yang menyebabkan kerugian atau kerosakan. Ayat Contoh : Kalau berbuat sesuatu perkara tanpa memikirkan baik dan buruknya terlebih dahulu, dikhuatiri akan menyusahkan diri sebab budi, boleh kedapatan.

Sebab Kasih Akan Bunga Setangkai, Dibuang Bunga Seceper

Maksud : Kerana kasih akan seorang, disia-siakan orang yang banyak. Ayat Contoh : Lantaran melebihkan isteri muda yang baru dinikahinya itu, Kamal sanggup mengabaikan tanggungjawabnya kepada isteri tua dan anak-anaknya. Sikapnya yang seperti sebab kasih akan bunga setangkai, dibuang bunga seceper menyebabkan rumah tangganya porak-peranda.

Sebab Mutiara Sebiji, Lautan Yang Dalam Diselam Orang

Maksud : Orang yang berilmu akan dicari orang walau di mana-mana berada. Ayat Contoh : Mahaguru silat yang bertapa di puncak gunung itu tetap dicari oleh anak-anak muda yang ingin berguru dengannya walaupun jalan untuk ke tempat beliau amat sukar dan mencabar kerana sebab mutiara sebiji, lautan yang dalam diselam orang.

Sebab Nila Setitik, Rosak Susu Sebelanga

Maksud : Oleh sebab yang sedikit, rosak semuanya. Ayat Contoh : Keluarga Haji Syahid memang dihormati kerana berbudi pekerti dan pendidikan agama yang sempurna. Tetapi semenjak salah seorang anaknya menagih dadah, orang ramai mula mencemuh keluarga itu. Bak kata orang, sebab nila setitik, rosak susu sebelanga.

Sebab Tiada Tahu Menari Dikatakan Tanah Lembap

Maksud : Sebab tidak tahu membuat kerja dikatakan perkakas atau alat yang tidak cukup. Ayat Contoh : Ghani tidak tahu menggunakan komputer lalu mengatakan bahawa komputer itu telah rosak dan tidak berfungsi. Itulah kata orang, sebab tiada tahu menari dikatakan tanah lembap.