Seperti Kancah Ditawar

Maksud : Ternganga sahaja tanpa menyertai dalam perbincangan. Ayat Contoh : “Tiada gunanya Fatih dilantik untuk mengetuai kita kalau dia seperti kancah ditawar,” kata Munir kepada rakan-rakannya.

Seperti Kapal Tiga Tiang

Maksud : Gaya perjalanan seorang perempuan yang amat menarik. Ayat Contoh : Rozita bukan sahaja seorang perempuan yang lemah lembut tetapi gaya jalannya seperti kapal tiga tiang, lancar dan teratur langkahnya.

Seperti Kapur Di Hujung Telunjuk

Maksud : Perihal seseorang yang tidak dapat melakukan sesuatu pekerjaan atau menolong saudara-mara dalam kesusahan. Ayat Contoh : Umat Islam di seluruh dunia yang prihatin terhadap saudara seagama di Chechnya yang dizalimi oleh tentera-tentera Rusia merasakan diri mereka seperti kapur di hujung telunjuk kerana tidak mampu membantu.

Seperti Katak Kena Sembur

Maksud : Keadaan orang yang terkulat-kulat, tidak bercakap atau menjawab soalan. Ayat Contoh : Ghani kelihatan terkulat-kulat seperti katak kena sembur apabila dimarahi oleh ketuanya kerana tidak datang kerja tanpa sebab dan tidak memaklumkan hal itu terlebih dahulu.

Seperti Kelopak Pandan

Maksud : Keelokan tubuh seorang perempuan. Ayat Contoh : Sesiapa yang terpandang akan Puteri Intan Terpilih akan terpikat kepadanya kerana kecantikan tubuhnya seperti kelopak pandan dan tingkah lakunya yang bersopan santun.