Seperti Si Cebol Hendak Mencapai Bulan

Maksud : Ingin melakukan sesuatu yang tidak mungkin tercapai. Ayat Contoh : “Cita-cita engkau ingin membina mahligai di atas pulau itu seperti si cebol hendak mencapai bulan kerana untuk membina bangsal pun kau tidak mampu,” sindir Mak Mah.

Seperti Si Mandul Baru Beranak

Maksud : Sangat gembira dan kasih akan sesuatu yang baru diperoleh setelah puas berusaha. Ayat Contoh : Setelah sekian lama bekerja dan berhempas-pulas mengumpulkan wang, akhirnya Pak Herman mampu membeli sebuah kereta. Meskipun sudah buruk, namun dijaganya dengan penuh kasih sayang, seperti si mandul baru beranak.

Seperti Sirih Pulang Ke Gagang

Maksud : Orang yang kembali kepada asalnya; kena pada tempatnya. Ayat Contoh : Setelah bertahun-tahun berpisah dan membawa haluan masing-masing, Zaquan dan Aminah telah rujuk kembali, seperti sirih pulang ke gagang.

Seperti Suatu Biji Sesawi Dalam Rumput

Maksud : Orang miskin dan hina tidak dipeduli atau dipandang orang. Ayat Contoh : : “Kita ini seperti suatu biji sesawi dalam rumput, kalau tidak berusaha untuk mencari kekayaan dan meningkatkan diri sendiri tentu tiada sesiapa pun yang sudi memandang kita,” luah Mikael kepada isterinya.

Seperti Sutera Dalam Lukisan

Maksud : Sesuatu yang sudah bagus, beroleh darjat yang bagus pula. Ayat Contoh : Anak raja Tanjong Pura yang hanyut di laut itu telah berkahwin dengan puteri ratu Majapahit dan kini dilantik menjadi ratu bagi menggantikan ayahanda mentua baginda. Nasib baginda seperti sutera dalam lukisan.

Seperti Talam Dua Muka

Maksud : Perihal orang yang berbuat baik kepada dua orang yang berseteru (untuk kepentingan diri sendiri). Ayat Contoh : Suhaila seperti talam dua muka apabila Anggun dan Anggerik bermusuhan.

Seperti Tangkai Jering

Maksud : Orang yang sangat kedekut. Ayat Contoh : Mo Salah terlalu payah untuk berderma bagi membantu fakir miskin. Sifatnya yang seperti tangkai jering ini amat tidak disenangi oleh isterinya.

Seperti Tebu, Airnya Dimakan, Hampasnya Dibuang

Maksud : Setiap perkataan yang keluar dari mulut orang hendaklah dipilih yang baik dan dibuang yang jahat. Ayat Contoh : Ceramah politik bukan semuanya boleh diterima kerana setiap penceramah mempunyai kepentingannya tersendiri. Oleh itu, pilihlah yang baik sahaja untuk diikuti seperti tebu, airnya dimakan, hampasnya dibuang.

Seperti Tebu Lepas Ke Dalam Mulut Gajah, Payah Akan Keluar

Maksud : Seseorang yang memperoleh sesuatu yang disukainya maka sukarlah untuk dilepaskan. Ayat Contoh : Tukiman mengatakan bahawa dia tidak akan melepaskan jawatan pengurus syarikat itu kerana jawatan itu memberikan pulangan lumayan kepadanya. Sikap Tukiman seperti tebu lepas ke dalam mulut gajah, payah akan keluar.

Seperti Telur Di Hujung Tanduk

Maksud : Orang yang berada dalam kesulitan, salah sedikit bahaya menimpa. Ayat Contoh : Kedudukan golongan yang menjadi kaum minoriti di negara pemerintahan kuku besi itu seperti telur di hujung tanduk kerana mereka sentiasa diancam oleh kegiatan penghapusan etnik.