Sesal Dahulu Pendapatan, Sesal Kemudian Tiada Berguna

Maksud : Sebelum mengerjakan atau melakukan sesuatu hendaklah difikirkan habis-habis. Ayat Contoh : Berhati-hatilah ketika memandu di jalan raya kerana setelah berlaku kemalangan, tidak guna disesalkan lagi kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.

Sesat Di Hujung Jalan, Balik Ke Pangkal Jalan

Maksud : Jika tidak mencapai persetujuan dalam sesuatu masalah hendaklah diselidiki kembali pokok persoalannya. Ayat Contoh : Mesyuarat untuk mencari tapak yang sesuai bagi membina masjid itu gagal mencapai kata sepakat kerana ahli-ahli mesyuarat mempunyai kepentingan peribadi. Keadaan ini menyebabkan imam meminta mereka kembali kepada tujuan asal mesyuarat tersebut kerana sesat di hujung jalan, balik … Read more

Sesat Surut, Terlangkah Kembali

Maksud : Memperbaiki kesalahan yang telah dilakukan. Ayat Contoh : “Jika masing-masing telah sedar akan kesalahan yang dilakukan, marilah kita bermaaf-maafan dan berbaik-baik semula. Bak kata orang, sesat surut, terlangkah kembali,” kata Ustaz Mahadi kepada Roslan dan Zahid.

Sesimpai Bagai Lidi

Maksud : Orang yang seia sekata. Ayat Contoh : Para pejuang kemerdekaan negara yang terjajah itu sudah sesimpai bagai lidi kerana tidak dapat dipecahbelahkan lagi oleh penjajah walau dengan apa-apa cara sekalipun.

Sesudah Arang-Arang, Hendaklah Minyak Pula

Maksud : Sesudah mengotorkan nama orang, sekarang hendak bermanis-manis pula dengan orang itu. Ayat Contoh : “Dulu kamulah yang menyebarkan cerita bahawa perempuan itu jahat, sekarang terbukti bahawa cerita itu fitnah semata-mata. Kini, kamu perlu membersihkan namanya yang telah tercemar itu, sesudah arang-arang, hendaklah minyak pula,” tegas Encik Saiful.

Setali Tiga Wang

Maksud : Sama saja keadaannya, tidak lebih tidak kurang. Ayat Contoh : “Terpulanglah kepada awak untuk membuat pilihan, kereta mewah terpakai itu sama harganya dengan sebuah kereta biasa yang baru, kedua-dua buah kereta itu setali tiga wang,” kata jurujual itu kepada Rahul.

Setapak Jangan Surut

Maksud : Tetap pendirian, tidak berkocak hati atau iman ketika menghadapi sesuatu kejadian. Ayat Contoh : Meskipun dipujuk dan diugut dengan pelbagai janji oleh keluarganya, namun saudara baru Islam itu tetap dengan agama pilihannya. Baginya setapak jangan surut.