Setapak Jangan Lalu, Setapak Jangan Surut

Maksud : Pendirian yang tetap. Ayat Contoh: Safee sudah membuat keputusan untuk bersara daripada sukan bola sepak. Walaupun dipujuk oleh pengurus, jurulatih, dan rakan-rakannya, namun dia tetap dengan pendiriannya itu, setapak jangan lalu, setapak jangan surut.

Setempuh Lalu Sebondong Surut

Maksud : Adat orang bersahabat sentiasa bermuafakat dan bersatu hati. Ayat Contoh : Ketika dalam kesulitan tentulah seseorang itu teringat akan bertuahnya jika mempunyai sahabat-sahabat yang setempuh lalu sebondong surut, iaitu sanggup bersama-sama ketika susah dan senang.

Setengah Bagai Bunyi Enggang, Setengah Bagai Bunyi Kuau

Maksud : Pendapat orang yang bermacam-macam. Ayat Contoh : Kalau mengendalikan mesyuarat yang ahlinya terdiri daripada pelbagai golongan, kita perlu banyak bersabar kerana semua orang mahu mengemukakan pendapat masing-masing. Kata orang, setengah bagai bunyi enggang, setengah bagai bunyi kuau.

Setinggi-Tinggi Melanting, Jatuhnya Ke Tanah Juga

Maksud : Pangkat dan martabat yang tinggi tidak akan kekal, kerana pada suatu waktu akan hilang juga. Ayat Contoh : Usahlah terlalu berbangga dan bersikap angkuh akan pangkat dan kedudukan yang disandang kerana semua itu tidak akan kekal untuk selama-lamanya, setinggi-tinggi melanting, jatuhnya ke tanah juga.

Seukur Berbaur, Bertopang Bercerai

Maksud : Jika seia sekata tentu bersatu dan jika berselisih faham tentu bercerai. Ayat Contoh : “Jika ayah tiada lagi nanti, kamu adik-beradik hendaklah sentiasa bermuafakat dan jangan bertelagah dalam apa-apa jua hal agar keluarga kita tetap kukuh kerana seukur berbaur, bertopang bercerai,” pesan Pak Zul kepada anak-anaknya.

Sia-Sia Hutang Tumbuh

Maksud : Jika terlalu boros atau membazir akhirnya hutang akan bertumbuh. Ayat Contoh : Jangan bazirkan wang dengan perkara yang tidak berfaedah kerana sia-sia hutang tumbuh, akhirnya kita sendiri yang kesempitan nanti.