Sia-Sia Negeri Alah

Maksud : Pekerjaan yang dilakukan dengan kurang berhati-hati itu akan mendatangkan bahaya dan kerugian. Ayat Contoh : Pihak polis selalu mengingatkan orang ramai agar memberitahu jiran atau dimaklumkan kepada balai polis terdekat sekiranya ingin meninggalkan rumah agar kejadian pecah rumah dapat dielakkan kerana sia-sia negeri alah.

Siang Bagai Hari, Terang Bagai Bulan

Maksud : Kesalahan yang sudah nyata sekali. Ayat Contoh : Memang tidak syak lagi bahawa Zarunlah yang memecah masuk ke rumah Munir malam tadi kerana isteri Munir sempat menyuluh mukanya. Bukti itu sudah siang bagai hari, terang bagai bulan.

Siang Sayur Tak Ukur Dengan Belanga

Maksud : Memilih pasangan hidup tidak sepadan dengan diri sendiri. Ayat Contoh : Puteri Sulung mengatakan bahawa Awang Lutung yang hodoh itu bagai siang sayur tak ukur dengan belanga kerana mahu meminang dirinya yang cantik dan anak kepada Tuk Raja Besar pula.

Siapa Cepat Boleh Dulu, Siapa Kemudian Putih Mata

Maksud : Orang yang cepatlah yang akan beroleh keuntungan dan orang yang lambat akan ketinggalan. Ayat Contoh : Dalam dunia hari ini, kita perlu pantas dalam merebut peluang terutama dari segi ekonomi. Jika lambat tentulah peluang itu akan diperoleh oleh orang lain, siapa cepat boleh dulu, siapa kemudian putih mata.

Siapa Cepat, Dia Dapat

Maksud : Orang yang cepat akan mendapat sesuatu yang baik dan yang lambat tidak akan mendapat apa-apa. Ayat Contoh : Siapa cepat, dia dapat. Begitulah yang terjadi kepada Enot yang tidak dapat balik ke kampung pada hari raya lepas kerana semua tiket bas dan kereta api sudah kehabisan.

Siapa Cerdik Tinggi Naik, Siapa Calak Menang Berhitung

Maksud : Orang yang pandai bercakap, meskipun bersalah akhirnya dipercayai orang juga. Ayat Contoh : Disebabkan kepandaiannya memutarbelitkan fakta, akhirnya peguam Huzai Khan berjaya memenangi perbicaraan itu meskipun anak guamnya ternyata sah melakukan kesalahan tersebut kerana siapa cerdik tinggi naik, siapa calak menang berhitung.

Siapa Gatal Dialah Menggaru

Maksud : Orang yang berkehendak, dialah yang keras berusaha. Ayat Contoh : “Jika kamu ingin membeli tanah Pak Karim, pergilah berjumpa dengannya, jangan menyuruh orang lain yang pergi, siapa gatal dialah menggaru,” kata Kamal kepada Aznil.