Sungkal Tak Berbalik, Unggun Padam Bara

Maksud : Pekerjaan yang tidak berfaedah sama ada dikerjakan atau tidak; tidak akan mendatangkan apa-apa. Ayat Contoh : Biarkan parit itu berada dalam keadaan sedia kala, usah ditebat atau didalamkan kerana tiada sebarang faedah yang diperoleh, sungkal tak berbalik, unggun padam bara.

Suratan Pada Awalnya

Maksud : Takdir Ilahi. Ayat Contoh : Kematian isteri dan anak-anaknya dalam kemalangan jalan raya itu diterima oleh Muhammad dengan tenang dan penuh sabar kerana dia tahu bahawa pemergian orang-orang yang disayanginya itu sudah suratan pada awalnya.

Surat Di Atas Batu

Maksud : Sesuatu yang terus dipakai selama-lamanya. Ayat Contoh : “Takkan Melayu hilang di dunia” merupakan kata-kata Hang Tuah yang masih menjadi kebanggaan dan terpahat di dalam hati orang-orang Melayu yang sayang akan bangsanya seperti surat di atas batu.

Surat Di Atas Batu, Tidak Akan Pupus-Pupus

Maksud : Sesuatu adat yang kekal. Ayat Contoh : Waadat antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba tentang perjanjian rakyat akan taat setia kepada raja manakala raja pula melindungi rakyat masih menjadi cara hidup orang Melayu hingga kini, surat di atas batu, tidak akan pupus-pupus.

Suruh Kerja Golok Keling, Suruh Makan Parang Puting

Maksud : Bekerja malas tetapi banyak makan. Ayat Contoh : Ketika semua orang membanting tulang membersihkan kawasan kampung, Khaled dan Mohd asyik berbual di bawah pokok tetapi setelah semua orang dijamu makan, merekalah orang paling banyak makan, suruh kerja golok keling, suruh makan parang puting.

Suruh Putih Hitam Datang

Maksud : Kemuliaan yang diharap, yang kotor itu pula didapati. Ayat Contoh : Akibat terlalu tamak akan kuasa dan kemuliaan akhirnya pemerintah diktator itu digulingkan oleh rakyat dalam keadaan yang sangat hina. Begitulah kalau suruh putih hitam datang.

Susu Di Dada Tak Dapat Dielakkan

Maksud : Nasib seseorang itu baik atau jahat tidak dapat dielakkan. Ayat Contoh : Che Man tidak pernah kesal dilahirkan buta kerana dia tahu bahawa keadaannya itu merupakan suratan Ilahi, susu di dada tak dapat dielakkan.

Syak Fasik Yakin Salih Batu Hendak Juadah

Maksud: Jangan banyak sangka, bekerjalah dengan yakin kerana dengan keyakinan sahaja maksud akan tercapai. Ayat Contoh : Jangan terlalu takut akan dirintangi oleh masalah, teruskan usaha yang telah dimulakan, insya Allah kamu akan berjaya menjalankan projek besar itu, syak fasik yakin salih; batu hendak juadah.