Syarak Yang Mengata, Adat Yang Memaksa

Maksud : Syarak dan adat tidak dapat dipisahkan. Ayat Contoh : Kehidupan di dunia tidak akan sempurna dan bahagia sekiranya kita hidup berpandukan adat semata-mata. Panduan agama amat perlu untuk membimbing, syarak yang mengata, adat yang memaksa.

Tahan Jerat Sorong Kepala

Maksud : Mahu mencelakakan orang lain tetapi kecelakaan itu menimpa diri sendiri. Ayat Contoh : Abang Mad mencuba untuk membakar kedai runcit Antony yang menjadi musuhnya tetapi minyak petrol yang digunakan telah tersimbah ke badannya. Hal ini menyebabkan dia mati terbakar. Begitulah kalau tahan jerat sorong kepala.

Tahu Di Dalam Lubuk

Maksud : Tahu betul tentang kesulitan sesuatu perkara. Ayat Contoh : Askar Melayu Diraja dihantar untuk berkhidmat di Congo, iaitu di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kerana pasukan itu telah tahu di dalam lubuk.

Tahu Gadung Itu Mabuk, Mengapa Diratah-Ratah

Maksud : Sengaja mencari perselisihan, kemudian sesal akan diri sendiri. Ayat Contoh : Engkau sudah tahu bahawa perempuan itu isteri orang tetapi masih mahu mengganggunya. Sekarang, suaminya itu sudah menjadi musuh ketat engkau, untuk apa disesalkan lagi. Bak kata orang, tahu gadung itu mabuk, mengapa diratah-ratah?

Tahu Makan Tahu Simpan

Maksud : Pandai berbuat sesuatu pandai-pandailah menyimpan rahsia. Ayat Contoh : Kalau takut pertemuan engkau dengan Siti di tepi sungai itu diketahui oleh bapanya yang garang itu, pandai-pandailah menyimpan rahsia tersebut kerana tahu makan tahu simpan.

Tajam Lidah Manusia Melebihi Tuntung Keris

Maksud : Mulut manusia lebih keras daripada senjata dan boleh membinasakan diri sendiri. Ayat Contoh : Akibat bercakap celopar di hadapan anak raja itu, Gendut telah dimurkai dan dihukum sebat dengan rotan, tajam lidah manusia melebihi tuntung keris.

Tak Ada Gading Yang Tak Retak

Maksud : Tidak ada sesuatu yang betul-betul sempurna. Ayat Contoh : Safarina seorang yang berpendidikan tinggi, cantik, pandai mengambil hati orang tua, dan sangat taat akan agama, sayangnya dia tidak tahu memasak. Itulah yang dikatakan orang tak ada gading yang tak retak.

Tak Ada Gunung Yang Tinggi Yang Tak Dapat Didaki, Tak Ada Lurah Yang Dalam Yang Tak Dapat Dituruni

Maksud : Tiada usaha yang tidak dapat dikerjakan atau tidak akan berhasil. Ayat Contoh : Walaupun Loke cacat pendengaran tetapi berkat usahanya yang bersungguh-sungguh, akhirnya dia berjaya mendapat ijazah kedoktoran di sebuah universiti yang terkenal, tak ada gunung yang tinggi yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang dalam yang tak dapat dituruni.