Tak Ada Itik Yang Bertengger

Maksud : Pekerjaan yang besar dan sukar tidak akan dapat dilakukan oleh orang yang tidak berilmu. Ayat Contoh : Kerja membuat peta topografi tidak dapat dibuat oleh sembarang orang kerana tak ada itik yang bertengger. Hanya mereka yang terlatih dalam bidang itu sahaja dapat melakukan kerja yang rumit itu.

Tak Ada Ribut Masakan Pokok Bergoyang

Maksud : Tentu ada sebabnya sesuatu perkara itu terjadi. Ayat Contoh : Kalau tidak ada apa-apa sebab tidak mungkin suami Zaiton itu selalu pulang lewat malam dan sering marah-marah pula kerana tak ada ribut masakan pokok bergoyang. Aku rasa tentu ada sesuatu yang tidak kena.

Tak Akan Lari Gunung Dikejar, Hilang Kabus Nampaklah Ia

Maksud : Tidak perlu tergesa-gesa untuk mengerjakan sesuatu yang pasti diperoleh. Ayat Contoh : Usah tergesa-gesa untuk berkahwin dengan gadis itu sebelum mendapat kerja tetap, bukankah dia sudah menjadi tunangmu dan sanggup menunggu, tak akan lari gunung dikejar, hilang kabus nampaklah ia.

Tak Akan Terlawan Buaya Menyelam

Maksud : Orang bodoh tidak akan dapat melawan orang yang pandai. Ayat Contoh : Kalau jahil tentang hukum-hukum agama, usahlah berdebat dengan ulama yang sudah penuh ilmu di dada kerana tak akan terlawan buaya menyelam.

Tak Beban Batu Digalas

Maksud : Mendapat kesusahan kerana mencampuri urusan orang lain. Ayat Contoh : Ummi Salmiah melihat kesusahan kawannya yang banyak anak itu kerana mereka tidak dipedulikan oleh suaminya. Kini dia pula terpaksa membela anak-anak kawannya itu, begitulah kalau tak beban batu digalas.

Tak Berberas Untuk Ditanak

Maksud : Tidak mempunyai kepandaian atau kemahiran untuk ditunjukkan kepada orang. Ayat Contoh : Maimunah mengatakan bahawa dia tak berberas untuk ditanak apabila kawan-kawannya meminta dia mempersembahkan sebarang bakat dalam pesta keramaian itu.