Tak Berpucuk Di Atas Enau

Maksud : Sangat sombong dan memandang rendah terhadap orang lain. Ayat Contoh : Disebabkan anak-anaknya mempunyai kelulusan dari luar negara, Puan Hasnah sentiasa memandang rendah kepada orang lain yang merupakan lulusan universiti tempatan, tak berpucuk di atas enau.

Tak Boleh Bertemu Roma

Maksud : Selalu bertelingkah. Ayat Contoh : Sejak berselisih faham tentang harta pusaka, kedua-dua beradik itu tak boleh bertemu roma. Kalau bersua pasti berlaku pertengkaran.

Tak Emas Bungkal Diasah

Maksud : Segala daya upaya dilakukan untuk mencapai maksud. Ayat Contoh : Cita-cita Zahid hendak memperisterikan Badariah bukan angan-angan kosong. Dia akan berusaha sedaya upaya untuk memikat gadis itu meskipun terpaksa menghabiskan harta bendanya, tak emas bungkal diasah.

Takkan Cempedak Berbau Nangka

Maksud : Selidiklah betul-betul sebelum mempercayai kata orang. Ayat Contoh : Engkau nampak sendiri perangai sumbang bakal menantu engkau itu, jadi lebih baik selidik dahulu sebelum percaya akan kata-katanya bahawa dia seorang guru agama kerana takkan cempedak berbau nangka.

Takkan Harimau Makan Anaknya

Maksud : Marah bapa terhadap anak tidak akan sampai membunuhnya. Ayat Contoh : Usahlah berdendam dengan ayah yang sering marah dan pernah memukul kerana tindakannya itu untuk mendidik kamu kerana takkan harimau makan anaknya.

Takkan Lebih Pucuk Daripada Pelepah Rapat Ke Batang

Maksud : Percakapan orang besar-besar lebih dipercayai oleh orang atasan berbanding dengan kata-kata rakyat biasa. Ayat Contoh : Raja itu lebih mempercayai pembohongan menteri itu dan mengetepikan pengaduan rakyat jelata tentang kejahatan menteri tersebut kerana takkan lebih pucuk daripada pelepah rapat ke batang.

Takkan Serik Luka Dimakan Tajak, Esok Lusa Ke Bendang Juga

Maksud : Kesukaran sesuatu kerja tidak menghalang seseorang itu terus mengerjakannya untuk mencari nafkah. Ayat Contoh : Anwar tahu bahawa pekerjaannya sebagai penebang pokok di syarikat balak itu berbahaya tetapi demi mencari nafkah untuk keluarga, dia sanggup menghadapi risiko, takkan serik luka dimakan tajak, esok lusa ke bendang juga.

Tak Kelih Mahu Tengok

Maksud : Hanya mahu hasilnya sahaja tetapi tidak mahu berusaha. Ayat Contoh : Nizam dan Alice yang malas itu melaburkan semua wangnya ke dalam skim cepat kaya dengan harapan mendapat untung berganda. Akhirnya wang itu lesap begitu sahaja. Itulah kalau tak kelih mahu tengok.

Tak Kena Tepuk Dengan Tarinya

Maksud : Lain yang ditanya lain yang dijawab. Ayat Contoh : Tok Ramli yang pekak itu ditanya tentang jenis padi yang ditanam di sawahnya tetapi dia memberitahu bahawa tanah sawahnya itu dibelinya sejak tiga puluh tahun yang lalu, tak kena tepuk dengan tarinya.