Urat Malang, Pangkal Celaka

Maksud : Perbuatan yang memberi mudarat kepada orang yang melakukannya Ayat Contoh : Akibat suka berjudi, Kasim banyak menghabiskan wang dan mengabaikan rumah tangganya. Dia juga dibuang kerja kerana menggelapkan wang syarikat, urat malang, pangkal celaka.

Uratnya Tempat Bersila, Batangnya Tempat Bersandar, Daunya Tempat Berteduh

Maksud : Orang yang kaya dan banyak kelebihan menjadi tempat orang susah mendapatkan pertolongan. Ayat Contoh : Siti Khadijah Binti Khuailid bolehlah dikatakan uratnya tempat bersila, batangnya tempat bersandar, daunya tempat berteduh kerana jasanya terlalu besar dalam memberi ketenangan dan kemudahan harta benda kepada suaminya, Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan syiar Islam.

Usaha Menjalani, Nasib Menyudahi

Maksud : Kewajipan manusia mengusahakan, hasil terserah kepada takdir. Ayat Contoh : Sebagai manusia, kita hanya mampu merancang dan mengusahakan projek pertanian berkelompok ini tetapi Allah juga yang menentukan kejayaannya kerana usaha menjalani, nasib menyudahi.

Usahlah Teman Dimandikan Pagi

Maksud : Usahlah dipermain-mainkan dengan sanjungan yang berlebih-lebihan. Ayat Contoh : Pujian yang terlalu banyak itu membuatkan saya berasa tidak senang, lebih baik terus terang sahaja tentang hajat yang dipinta kerana usahlah teman dimandikan pagi.

Usang Dibarui, Lapuk Dikajangi

Maksud : Kebiasaan lama yang baik sudah dilupai orang dihidupkan kembali, mana-mana yang kurang baik diperbaiki. Ayat Contoh : Amalan gotong-royong yang kian pupus di kalangan masyarakat kita hari ini patutlah dihidupkan semula untuk kebaikan semua pihak, usang dibarui, lapuk dikajangi.

Usul-Usul, Asal-Asal; Jangan Ditinggalkan

Maksud : Mengerjakan sesuatu hendaklah dengan berhati-hari; dalam mengerjakan sesuatu hendaklah diperhatikan benar-benar sejak pekerjaan itu dimulakan. Ayat Contoh : Sekiranya mahu memilih rakan kongsi dalam apa-apa jua pekerjaan, misalnya perniagaan perlulah disiasat dengan teliti terlebih dahulu agar tidak tersalah pilih dan merosakkan pekerjaan itu kerana usul-usul, asal-asal; jangan ditinggalkan.

Walau Disepuh Emas Lancung, Kilat Tembaga Tampak Juga

Maksud : Bagaimana sekalipun diajar, orang yang biadab akan kelihatan juga perangainya yang kurang baik Ayat Contoh : Imam Zahid mengajar Akmal tentang adab dalam majlis tetapi pemuda itu berkelakuan baik seketika sahaja. Selepas itu, sikap biadabnya timbul semula, walau disepuh emas lancung, kilat tembaga tempak juga.

Walaupun Ada Umpan Belum Tentu Ada Ikan

Maksud : Sesuatu pekerjaan itu walaupun telah ada persediaan yang cukup, tetapi belum tentu akan berhasil dengan baik. Ayat Contoh : Dzukifli menghabiskan wang yang banyak untuk menambah barang di kedai runcitnya tetapi pelanggan tetap tidak datang kerana kedudukan kedai itu tidak strategik, walaupun ada umpan, belum tentu ada ikan.

Walaupun Diam Dalam Lautan Garam Sekalipun, Ikan Tetap Tidak Akan Masin

Maksud : Orang yang ada waja diri, tidak dapat dipengaruhi oleh persekitaran. Ayat Contoh : Nur Izzati tinggal bersama-sama dengan kawan-kawan yang tidak pernah bersembahyang serta sering bergelumang dengan maksiat, tetapi dia masih kekal dengan pendiriannya yang tidak mengabaikan suruhan dan larangan Allah, walaupun diam dalam lautan garam sekalipun, ikan tetap tidak akan masin.