Yang Setitik Dilautkan, Yang Sekepal Digunungkan

Maksud : Harta yang sedikit dikembangkan menjadi bertambah banyak. Ayat Contoh : Fadilah memang pandai berniaga. Dengan permulaan modal hanya RM3000 untuk membuka warung di tepi jalan, kini dia mempunyai satu rangkaian restoren makanan segera hampir di semua bandar besar, yang setitik dilautkan, yang sekepal digunungkan.

Yang Tajam Tumpul, Yang Bisa Tawar

Maksud : Dengan berkat ubat atau doa, sesuatu penyakit dapat disembuhkan; kerana percakapan yang manis atau lemah lembut sesuatu sengketa hilang. Ayat Contoh : Petang itu, Zahid kelihatan marah-marah tetapi hatinya menjadi sejuk apabila isterinya memujuk dengan kata-kata yang manis dan lembut, yang tajam tumpul, yang bisa tawar.

Yang Tak Diarah Kena, Yang Diarah Tak Kena

Maksud : Nasib tidak dapat ditolak, bencana pula tidak dapat dihindarkan. Ayat Contoh : Walaupun kita memandu dengan berhati-hati, namun kemalangan tetap akan terjadi kalau pemandu lain cuai dan mementingkan diri sendiri. Bak kata orang, yang tak diarah kena, yang diarah tak kena.

Yang Tegak Disokong, Yang Lemah Ditopang

Maksud : Orang kaya biarlah bertambah kaya tetapi miskin patut dibantu Ayat Contoh : Islam menggalakkan umatnya mencari harta kekayaan tetapi tidak membiarkan orang miskin menderita. Oleh sebab itulah orang kayar diwajibkan membayar zakat, yang tegak disokong, yang lemah ditopang.

Yang Tinggi Tampak Jauh, Yang Dekat Julung Bersua

Maksud : Dalam sesuatu usaha, pemimpin yang bertanggungjawab akan mendapat pujuan dan celaan. Ayat Contoh : Seseorang pemimpin hendaklah mempunyai tahap kesabaran yang tinggi kerana merekalah yang sering dipertanggungjawabkan jika sesuatu masalah terjadi dalam negara, yang tinggi tampak jauh, yang dekat julung bersua.

Yang Tua Dimuliakan, Yang Muda Dikasihi

Maksud : Orang yang pandai membawa diri Ayat Contoh : Anwar merupakan sebaik-sebaik contoh kerana sentiasa memuliakan orang yang lebih tua serta menyayangi anak-anak yang masih mudah, yang tua dimuliakan, yang muda dikasihi.

Zahir Menunjukkan Batin

Maksud : Tingkah dan kata membayangkan hati. Ayat Contoh : Banyak orang percaya bahasa Hadi yang suka mengeluarkan kata-kata kesat dan berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai itu berhati jahat kerana yang zahir menunjukkan batin.

Zaman Beralih Musim Bertukar

Maksud : Sesuatu itu tidak tetap (sentiasa berubah-ubah). Ayat Contoh : Pada tahun 1960-an dahulu, sesiapa yang belajar di universiti akan menjadi kebanggaan bukan sahaja keluarga, malah seluruh orang kampungnya. Tetapi pada alaf baru ini, belajar di universiti sudah menjadi perkara biasa kerana zaman beralih musim bertukar.

Zaman Puntung Berasap

Maksud : Zaman dahulu yang belum ada kemajuan. Ayat Contoh : Sekarang bukan zaman puntung berasap lagi, semua orang berlumba-lumba mencari ilmu untuk kemajuan diri dan keluarga agar dapat menikmati kemajuan.