Si Cebol Hendak Mencapai Bulan

Maksud : Menginginkan sesuatu yang mustahil tercapai. Ayat Contoh : Amani sering berangan-angan untuk melancong ke Switzerland sambil bermain luncur salji di sana tetapi impiannya itu si cebol hendak mencapai bulan kerana untuk ke Kuala Lumpur pun dia tidak berduit..

Sigai Dua Segeragai

Maksud : Perkara yang ada sangkut pautnya dengan perkara yang lain. Ayat Contoh : Perbicaraan kes rasuah pegawai tinggi kerajaan itu turut melibatkan kes salah guna kuasa. Itulah yang dikatakan sigai dua segeragai.

Sigai Sampai Ke Langit

Maksud : Dicari atau diselidiki dengan sedaya upaya. Ayat Contoh : Selagi dia tidak tahu akan perangai sebenar bakal menantunya, Kak Esah akan sigai sampai ke langit sehinggalah dia berpuas hati.

Si Kutuk Beras Basah, Ditampi Tak Terlayang, Diandang Tak Berantah, Hujungnya Tidak Disudu Oleh Itik

Maksud : Orang yang tidak berharga dalam masyarakat, di sana sini disingkirkan orang. Ayat Contoh : Penagih dadah bukan sahaja tidak berguna kepada sesiapa pun malah kehadiran mereka hanya akan menyusahkan masyarakat sekeliling. Mereka bagaikan si kutuk beras basah, ditampi tak terlayang, diandang tak berantah, hujungnya tidak disudu oleh itik.

Si Lalar Si Lalai

Maksud : Tidak tetap pada sesuatu pekerjaan atau di sesuatu tempat serta kerja yang dibuat tidak sempurna. Ayat Contoh : “Kamu akan kerugian kalau mengamalkan sikap si lalar si lalai kerana tiada satu pun hasil yang diperoleh daripada pekerjaan kamu yang tidak pernah tetap itu,” tegur Siti kepada Liza.

Silang Berpangkal, Kerakap Berjumpa Junjung

Maksud : Setiap pekerjaan mesti ada ketuanya supaya selamat dan lancar. Ayat Contoh : Walaupun banyak pekerja yang mahir, namun sekiranya tiada ketua untuk mengawasi mereka tentu kerja yang dilakukan itu akan kelam-kabut jadinya. Oleh itu, perlulah silang berpangkal, kerakap berjumpa junjung.

Silang Berpangkal Kerja Berjunjung

Maksud : Setiap pekerjaan mesti ada kepala atau ketuanya supaya selamat. Ayat Contoh : Huzaifah dilantik untuk mengetuai pemuda-pemuda kampung yang akan mengendalikan acara menyambut rombongan menteri yang akan melawat kampung mereka pada bulan hadapan. Pelantikan dibuat supaya kerja yang akan dilakukan sempurna kerana silang berpangkal, kerja berjunjung.

Silih Berganti Bagai Ombak Di Tepi Pantai

Maksud : Keadaan hidup yang tidak tetap (sekali susah sekali senang). Ayat Contoh : Kehidupan Rosli dan keluarganya tidak menentu kerana dia tidak mempunyai pekerjaan yang tetap. Apabila ada kerja dan mempunyai pendapatan, kehidupan mereka agak senang tetapi setelah tiada kerja, kehidupan mereka melarat, silih berganti bagai ombak di tepi pantai.

Singkap Daun, Ambil Isi

Maksud : Berkata-kata dengan terus-terang (tidak berbelit-belit). Ayat Contoh : “Kemukakan hajat kamu dengan cara singkap daun, ambil isi agar kami mudah untuk memahaminya,” kata Mak Rozy kepada jirannya.