Singkat Diulas, Panjang Dikerat

Maksud : Sesuatu yang kurang hendaklah ditambah dan yang lebih hendaklah dikurangi. Ayat Contoh : “Pak cik, saya masih baru dalam pekerjaan ini. Jadi, kalau singkat diulas, panjang dikerat,” kata Leman.

Singkat Tidak Terulas, Panjang Tidak Terkerat

Maksud : Tiap-tiap orang akan mati apabila telah sampai ajalnya dan kalau belum ajal berpantang mati. Ayat Contoh : Ajal maut sudah ditentukan oleh Tuhan sejak azali lagi. Jika sudah sampai masanya tidak mungkin dapat ditangguh walaupun sesaat, singkat tidak terulas, panjang tidak terkerat.

Siput Memuji Buntut

Maksud : Sifat suka memuji diri sendiri. Ayat Contoh : Sikap Azwan yang seperti siput memuji buntut dan merendahkan kebolehan rakan-rakannya menyebabkan dia dibenci oleh rakan-rakannya.

Si Rabun Memimpin Si Buta

Maksud : Diri sendiri belum terurus, hendak menguruskan orang lain. Ayat Contoh : “Awak belum layak untuk menjadi kaunselor kepada pasangan yang mengalami masalah kerana rumah tangga awak sendiri porak-peranda. Nanti jadi seperti si rabun memimpin si buta,” kata Encik Azwan kepada Aznil.

Sirih Berlipat Dengan Sendiri

Maksud : Mendapat orang yang dicintai atau keuntungan dengan mudah. Ayat Contoh : Pemuda yang berbudi tinggi itu tidak perlu bersusah payah untuk memikat gadis idamannya kerana keluarga dan gadis itu memang sudah lama berkenan kepadanya. Begitulah kalau sirih berlipat dengan sendiri.

Sirih Naik Junjungan Naik

Maksud : Mendapat untung dan bahagia silih berganti. Ayat Contoh : Ghazali bukan sahaja berjaya mengahwini anak orang kaya yang digilai oleh banyak pemuda malah dia dilantik pula menjadi pengarah urusan syarikat milik bapa mentuanya itu. Nasib dirinya bagaikan sirih naik junjungan naik.

Sirih Naik Junjungan Patah

Maksud : Baru hendak mendapat kesenangan, tiba-tiba mendapat bencana pula. Ayat Contoh : Mak Zai bagai sirih naik junjungan patah apabila anaknya yang baru bekerja meninggal dunia akibat kemalangan.

Sirih Pulang Ke Gagangnya

Maksud : Kembali ke tempatnya. Ayat Contoh : Ketika puisi klasik seperti pantun dan syair semakin dilupakan oleh generasi muda, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama banyak pihak telah mempopularkan puisi itu melalui pertandingan berbalas pantun, jadilah sirih pulang ke gagangnya.

Situ Juga Gendang Berbunyi

Maksud : Sama sahaja, tidak berubah. Ayat Contoh : Semasa tinggal di kampung, Rokiyah dikelilingi oleh jiran-jiran yang suka mengumpat dan menjadi batu api, kini dia berpindah ke bandar dan jiran-jiran barunya juga mempunyai tabiat yang sama, situ juga gendang berbunyi.