Sokong Membawa Rebah

Maksud : Dikhianati oleh kawan sendiri atau orang yang dipercayai. Ayat Contoh : Usahawan itu muflis akibat ditipu oleh setiausahanya yang sangat dipercayai. Itulah yang dikatakan sokong membawa rebah.

Suak, Sungai Satu Air

Maksud : Sepupu yang berasal daripada satu keturunan. Ayat Contoh : “Usahlah bergaduh oleh sebab yang remeh-temeh, kamu berdua ialah suak, sungai satu air,” kata Mastura kepada Halim dan Kamal.

Suara Serupa Buluh Pecah

Maksud : Suara yang tidak sedap didengar. Ayat Contoh : “Shameil, janganlah melalak di sini. Suara serupa buluh pecah, sakit telinga aku mendengarnya,” herdik Zul.

Suarang Diagih Sekutu Dibelah

Maksud : Jika suami isteri bersetuju untuk bercerai, harta pencarian bersama dibahagi dua dan harta pembawaan dipulangkan kepada kaum masing-masing. Ayat Contoh : Perceraian antara suami isteri tidak akan berlanjutan dengan permusuhan jika harta mereka dibahagikan dengan betul, suarang diagih sekutu dibelah.

Sudah Arang-Arang, Hendak Minyak Pula

Maksud : Dulu dikeji, sekarang dipuji. Ayat Contoh : Dahulu Shuib sering menghina anak jirannya yang selekeh dan nampak bodoh itu tetapi setelah budak itu berjaya dalam pelajaran dan sering membantunya, kini dia memuji-muji pula, sudah arang-arang, hendak minyak pula.

Sudah Basah Kehujanan

Maksud : Kemalangan yang dialami bertimpa-timpa. Ayat Contoh : Setelah dibuang kerja, Hilal ditinggalkan oleh kekasihnya pula. Dirinya bagai sudah basah kehujanan.

Sudah Berkata Satu

Maksud : Tidak berubah daripada yang telah diucapkan. Ayat Contoh : Suhaimi sudah berkata satu, iaitu tidak bersetuju dengan keputusan abangnya hendak menjual rumah pusaka itu.

Sudah Bertarah, Berdongkol Pula

Maksud : Setelah sesuatu perselisihan diselesaikan, timbul pula perselisihan yang lain. Ayat Contoh : “Perkara yang sudah berlalu itu biarkan berlalu, usah diungkit kembali nanti yang sudah bertarah, berdongkol pula,” nasihat Atira kepada Jun.