Tiada Membesarkan Diri

Maksud : Tidak dapat membantu keluarga kerana keperluan diri sendiri pun tidak mencukupi. Ayat Contoh : Sanusi tiada membesarkan diri apabila tidak mampu untuk membantu ibu bapa dan adik-adiknya yang sangat memerlukan wang kerana anaknya sendiri banyak dan pendapatannya pula kecil.

Tiada Patah Yang Tak Tempang

Maksud : Telah berdamai tetapi perselisihan tetap meninggalkan perasaan yang tidak baik di dalam hati. Ayat Contoh : Salamiatul dan Samsuri yang pernah bergaduh itu telah berbaik-baik semula tetapi persahabatan mereka kali ini tidak sebaik dahulu kerana tiada patah yang tak tempang.

Tiada Pendekar Yang Tak Bolos, Tiada Juara Yang Tak Kalah

Maksud : Walaupun pandai ada kalanya tersilap atau tersalah juga. Ayat Contoh : Pelumba kereta yang terkenal itu akhirnya mati dalam kemalangan jalan raya apabila dia gagal mengawal keretanya dan terus melanggar tembok. Begitulah kata orang, tiada pendekar yang tak bolos, tiada juara yang tak kalah.

Tiada Terbawa Sekam Segantang

Maksud : Sangat lemah dan tidak berdaya kerana sakit atau uzur. Contoh Ayat : Sejak terlantar di perbaringan akibat serangan angin ahmar, Pak Muslimin sudah tiada terbawa sekam segantang, makan minumnya pun terpaksa disuap.

Tiada Terbuang Tahi Mata Oleh Empu Kaki

Maksud : Aib sanak saudara kita tentu kita yang memikulnya kerana tidak akan dipikul oleh orang lain. Ayat Contoh : Sejahat mana pun saudara kita, tentulah kita tidak sampai hati untuk membiarkan dia sendirian menanggung aib kerana tiada terbuang tahi mata oleh empu kaki.

Tiada Terempang Peluru Oleh Lalang

Maksud : Kehendak orang yang berkuasa tidak tertahan oleh orang yang lemah. Ayat Contoh : Bendahara tahu bahawa tindakan Sultan Mahmud yang mahu membelah perut isteri Megat Seri Rama itu sangat kejam tetapi apakan dayanya kerana tiada terempang peluru oleh lalang.

Tiada Terkajang Batu Di Pulau

Maksud : Tidak terlayan kehendak orang ramai. Ayat Contoh : Bukan senang untuk menjadi pemimpin kerana kita akan bertemu dengan seribu satu macam manusia yang setiap seorang mempunyai kehendak yang berlainan, tiada terkajang batu di pulau.

Tiada Tertikam Tuah Oleh Berani

Maksud : Orang yang bertuah tidak dapat dikalahkan dengan berani. Ayat Contoh : Jenal berjaya mengahwini anak Tuk Demang dan bakal mewarisi jawatan mentuanya itu sebagai laksamana menyebabkan semua pahlawan yang gagah berani tertewas kepadanya. Itulah yang dikatakan, tiada tertikam tuah oleh berani.