Tidak Ada Kusut Yang Tak Selesai

Maksud : Tiada pertikaian yang tidak dapat diselesaikan. Ayat Contoh : Akhirnya peperangan yang berlaku di Indo-China akibat kemaraan Komunis pada era 1970-an dapat diselesaikan dan kedamaian mula dirasai di rantau itu kerana tidak ada kusut yang tak selesai.

Tidak Ada Orang Menggaruk Keluar Badan

Maksud : Biasanya seseorang akan berpihak kepada keluarga jika berlaku perselisihan. Ayat Contoh : Radzi telah didapati memulakan pergaduhan dengan Muhyiddin tetapi ibunya tetap mengatakan bahawa anaknya itu tidak bersalah, tidak ada orang menggaruk keluar badan.

Tidak Berat Diampu

Maksud : Tidak perlu tergesa-gesa terhadap kerja yang tidak penting. Ayat Contoh : Halimah dinasihati oleh ibunya agar melupakan soal percintaan dahulu kerana pada waktu ini pelajarannya lebih penting, tidak berat diampu.

Tidak Berengsot Dari Bibir

Maksud : Tidak habis-habis disebut. Ayat Contoh: Meskipun dia berada jauh di luar negara kerana menyertai misi keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, namun anak-anak dan isterinya tidak berengsot dari bibir Yunus.

Tidak Berperut Lipat

Maksud : Kurang pertimbangan atau kurang fikiran. Ayat Contoh : Salamiah dikatakan tidak berperut lipat apabila meletakkan jawatannya setelah dimarahi oleh ketua majikannya.

Tidak Bertohor Kaki

Maksud : Selalu sibuk bekerja. Ayat Contoh : Memang sepatutnya Haji Ismail itu kaya-raya kerana dia seorang yang cermat dan bekerja dengan tidak bertohor kaki.

Tidak Dapat Diungkit Dengan Besi Panas

Maksud : Dua orang yang sangat berkasih-kasihan dan tidak dapat dipisahkan. Ayat Contoh : Meskipun keluarganya membantah keras, namun Idris tetap memilih kekasihnya itu untuk dijadikan isteri kerana mereka berdua sudah tidak dapat diungkit dengan besi panas.