Tidak Kekal Bunga Dikarang

Maksud : Kekayaan (kemuliaan/kasih) suatu waktu akan hilang atau tidak lama wujudnya. Ayat Contoh : Usahlah bermegah-megah akan kekayaan dan pangkat yang dimiliki kerana semuanya hanyalah sementara kerana tidak kekal bunga dikarang.

Tinggal Kelopak Salak

Maksud : Habis hartanya (kerana kecurian atau rugi dalam perniagaan). Ayat Contoh : Encik Hamzah telah tinggal kelopak salak apabila rumahnya dimasuki pencuri ketika dia dan keluarganya pulang berhari raya di kampung.

Tidaklah Telaga Mendapatkan Timba

Maksud : Orang yang berhajat itulah patut mencari orang yang dihajatinya. Ayat Contoh : Dia yang memerlukan pertolongan kita, jadi dialah yang perlu datang menjemput kita, tidaklah telaga mendapatkan timba.

Tidak Makan Benang

Maksud : Tidak masuk akal; tidak benar Contoh Ayat : Teori manusia berasal daripada beruk yang dikemukakan oleh Charles Darwin memang tidak makan benang kerana mengikut pemikiran manusia biasa pun memang sukar untuk diterima.

Tidak Makan Siku-Siku

Maksud : Cakap seseorang yang berleleran sahaja (tidak menurut tujuannya). Ayat Contoh : banyak pelajar merungut kerana tidak berpuas hati dan tidak faham akan pengajaran Cikgu Nizam yang tidak makan siku-siku.

Tidak Masuk Buku

Maksud : Tidak termasuk dalam hitungan. Contoh Ayat : Fawwaz yang kurang siuman itu sudah lama tidak masuk buku dalam apa-apa sahaja majlis yang diadakan oleh orang-orang kampung.

Tidak Mengetahui Hulu Hilirnya

Maksud : Tidak mengetahui hujung pangkalnya tentang sesuatu perkara. Contoh Ayat : Shahidan tidak mengetahui hulu hilirnya tentang rumah tangga kakaknya yang porak-peranda itu kerana terlalu sibuk dengan perniagaan.