Tidak Sama Air Hujan Dengan Air Telaga

Maksud : Orang biasa dengan orang bangsawan tidak sama darjatnya. Meskipun Tengku Saifuddin dan keluarganya sudah lama menetap di kampung itu, namun cara hidup mereka sangat berbeza daripada orang-orang kampung yang rata-rata miskin, tidak sama air hujan dengan air telaga.

Tidak Tahu Di Basa-Basi

Maksud : Tidak tahu adat. Contoh Ayat : Amin dikatakan tidak tahu di basa-basi kerana memakai seluar pendek ketika menziarahi jenazah jiran sekampungnya.

Tidak Tentu Titik Komanya

Maksud : Perkataan yang tidak tentu hujung pangkalnya. Ayat Contoh : Penduduk kampung berkumpul di balai raya itu merungut kerana tidak faham akan ucapan wakil ketua kampung yang tidak tentu titik komanya itu.

Tidak Terindang Dedak Basah

Maksud : Perselisihan atau perkara yang sangat sukar untuk diselesaikan. Contoh Ayat : Perang saudara antara dua kaum terbesar di negara itu sangat sukar untuk didamaikan kerana masing-masing mempunyai angkatan tentera yang lengkap bersenjata, tidak terindang dedak basah.

Tidak Usak Kerbau Oleh Penyembelihan

Maksud : Tidak akan miskin seseorang hartawan apabila menderma Ayat Contoh : Orang-orang kaya yang membayar zakat dengan mengeluarkan sebahagian kecil harta mereka tidak mungkin akan menjadi miskin kerana tidak usak kerbau oleh penyembelihan.

Tidur Tak Lelap Makan Tak Kenyang

Maksud : Orang yang bersusah hati kerana banyak yang difikirkan. Contoh Ayat : Zailah mula tidur tak lelap makan tak kenyang apabila memikirkan peperiksaan SPM yang kian menjelang sedangkan dia belum membuat persediaan.

Tidur-Tidur Ayam

Maksud : Tidur yang mudah terbangun. Ayat Contoh : Leftenan Adnan mengingatkan anggotanya agar tidur-tidur ayam kerana musuh mungkin akan menyerang pada bila-bila masa.

Timbangan Berat Sebelah

Maksud : Tidak adil. Contoh Ayat : Pemimpin yang memerintah secara timbangan berat sebelah akan mewujudkan sebuah negara yang huru-hara kerana ada rakyatnya yang tidak berpuas hati.

Timur Beralih Ke Sebelah Barat

Maksud : Lelaki atau suami yang menurut sahaja kata wanita atau isteri. Ayat Contoh : Mumtazah memberitahu bahawa abangnya baru berkahwin tetapi sudah menjadi timur beralih ke sebelah barat sehingga tidak mempedulikan ibunya yang sudah tua.

Timur Bertukar Ke Barat

Maksud : Telah bertukar haluan. Ayat Contoh : Disebabkan terlalu sedih dan marah akan kezaliman sultan terhadap saudarnya, Hang Tuah, Hang Jebat telah bertukar haluan daripada seorang yang taat kepada penderhaka, timur bertukar ke barat.