Sudah Kata Satu

Maksud : Tidak berubah daripada yang telah diucapkan. Ayat Contoh : “Maaf, saya sudah kata satu, surat peletakan jawatan yang saya serahkan itu tidak akan ditarik balik walaupun dipujuk dengan jawatan yang lebih baik dan gaji yang lumayan,” kata Narita kepada ketua jabatannya.

Sudah Kenyang Makan Kerak

Maksud : Sudah banyak pengalaman. Ayat Contoh : Cikgu Zahiril memang layak menjawat jawatan Pengetua di sekolah itu kerana beliau sudah kenyang makan kerak dalam bidang pendidikan yang diceburinya sejak lebih dua puluh tahun yang lalu.

Sudah Ke Tengah Makan Api

Maksud : Suatu perselisihan yang susah untuk didamaikan. Ayat Contoh : Keganasan kaum yang berlaku di Kosovo sudah ke tengah makan api kerana telah tercetus peperangan yang sukar untuk didamaikan.

Sudah Lulus Maka Hendak Melantai

Maksud : Sudah mendapat kesusahan atau kemalangan, baru hendak beringat. Ayat Contoh : Setelah seorang anaknya mati lemas di dalam perigi buta yang tidak berpagar di belakang rumahnya, barulah Hamid mahu menimbus perigi tersebut. Kata orang, sudah lulus maka hendak melantai.

Sudah Makan Bismillah

Maksud : Tidak menurut peraturan; terbalik. Ayat Contoh : Sepatutnya selidik dahulu tentang kesahihan sesuatu berita itu sebelum diambil apa-apa tindakan, bukannya bertindak dahulu baharu mahu siasat, sudah makan bismillah.

Sudah Masuk Ke Mulut Harimau

Maksud : Sudah pasti binasa. Ayat Contoh : Anak-anak gadis yang lari dari rumah kerana mengikut teman lelaki serta bercampur dengan golongan remaja yang sudah rosak akhlaknya, dikatakan seperti sudah masuk ke mulut harimau.

Sudah Mati Kutunya

Maksud : Sudah tidak bertenaga lagi atau hilang kekuatan; tidak dapat berbuat apa-apa lagi; tidak beroleh apa-apa lagi; malu. Ayat Contoh : Kebanyakan ibu bapa pada hari ini sudah mati kutunya untuk membendung tingkah laku anak-anak mereka yang semakin hari semakin liar.

Sudah Memakai Adat

Maksud : Dikatakan kepada pemuda yang sudah beristeri. Contoh Ayat : “Kalau sudah memakai adat dan ada anak janganlah berlagak dan bergaya seperti orang bujang,” sindir Pak Saman kepada Hisyam.

Sudah Menggoncang Girik (Girik-Girik)

Maksud : Sangat tua; tua renta. Ayat Contoh : “Kalau ada kemampuan harta, semasa muda beginilah kita perlu menunaikan haji. Jangan sudah menggoncang girik baru mahu ke sana kerana ibadah itu memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang tinggi,” kata Ustaz Nasrullah.

Sudah Mengilang Membajak Pula

Maksud : Bekerja sepanjang masa; sentiasa menanggung kesusahan. Ayat Contoh : Sejak dinaikkan pangkat, masa lapang Hanifah semakin berkurangan kerana dia sentiasa berada dalam situasi sudah mengilang membajak pula.