Sudah Merasa Baru Santun

Maksud : Sudah berasa kesusahan barulah berasa belas kasihan. Ayat Contoh : Setelah dirinya sendiri ditimpa muflis dan kehilangan semua harta kebanggaannya, barulah orang kaya yang sombong itu berubah sikap dan mahu memandang orang miskin yang melarat. Bak kata orang, sudah merasa baru santun.

Sudah Panas Berbaju Pula

Maksud : Sudah susah ditambah lagi dengan kesusahan. Ayat Contoh : Hanifah yang miskin dan mempunyai anak yang banyak itu sudah panas berbaju pula kerana terpaksa membela beberapa orang anak saudaranya yang kematian ibu bapa.

Sudah Panjang Langkahnya

Maksud : Sudah pergi jauh. Ayat Contoh : Pada zaman sekarang, ibu bapa yang telah tua terpaksa menahan perasaan dan hidup kesunyian kerana ditinggalkan oleh anak-anak yang sudah panjang langkahnya untuk mencari rezeki jauh dari kampung halaman.

Sudah Patah Baru Hendak Melantai

Maksud : Sesudah mendapat kesusahan baharu hendak beringat-ingat. Ayat Contoh : Kita hendaklah memastikan negara ini sentiasa berada dalam keadaan aman dan stabil, jangan pula sudah patah baru hendak melantai.

Sudah Patah Yang Bertaji

Maksud : Kesusahan sebuah keluarga setelah kematian ketua keluarga. Ayat Contoh : Setelah Pak Taib yang berpengaruh itu meninggal dunia, keluarganya mula diganggu oleh pemuda-pemuda yang tidak berakhlak dalam kampung itu, begitulah kalau sudah patah yang bertaji.

Sudah Tahu Di Kain Beragi

Maksud : Perihal orang yang susah yang mulai baik penghidupannya. Ayat Contoh : Sejak beberapa orang anaknya sudah bekerja, keluarga Mak Rubiah mula merasa senang, sudah tahu di kain beragi.

Sudah Tahu Peria Pahit

Maksud : Kesal terhadap orang yang masih percaya kepada orang yang diketahui tidak jujur. Ayat Contoh : “Walaupun kamu sudah tahu peria pahit, tetapi kamu masih meminjamkannya wang,” kata ibu kepada Hasbi.

Sudah Tampak Kaki Ular

Maksud : Telah diketahui sesuatu yang buruk yang sebelum ini tidak nampak. Ayat Contoh : Selama ini dia dianggap baik tetapi setelah polis menangkapnya barulah diketahui bahawa dialah pengedar dadah yang telah banyak merosakkan anak muda kampung, sudah tampak kaki ular.

Sudah Tangan Bertuah, Mumbang Ditanam Tumbuh Juga

Maksud : Seseorang yang bernasib baik dan semua yang dikerjakannya berhasil. Ayat Contoh : Walaupun Pak Hasbi memelihara ternakannya secara sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh namun sudah tangan bertuah, mumbang ditanam tumbuh juga, semua ternakannya gemuk dan cepat membiak pula.