Sudah Terang Lagi Bersuluh

Maksud : Perkara yang sudah terang dan nyata dijelaskan lagi. Ayat Contoh : Saya yakin bahawa semua ahli kariah tahu akan masjid kita ini sudah uzur dan perlu dibaiki segera. Walaupun sudah terang lagi bersuluh saya mahu jelaskan lagi bahawa kita perlu menyumbangkan wang dan tenaga untuk tujuan itu.

Sudah Terpijak Benang Arang, Hitamlah Tapak

Maksud : Kalau sudah melanggar undang-undang, terimalah ganjarannya. Ayat Contoh : Hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan terhadap pembunuh itu memang setimpal dengan jenayah yang dilakukannya, sudah terpijak benang arang, hitamlah tapak.

Sudah Tidak Tersudu Oleh Angsa, Baru Diberi Kepada Itik

Maksud : Barang yang tidak berguna kepada orang mulia itu barulah diperoleh oleh orang miskin. Ayat Contoh : Barang-barang terpakai yang sudah tidak mahu digunakan oleh orang-orang kaya itu telah diagih-agihkan kepada fakir dan miskin, sudah tidak tersudu oleh angsa, baru diberi kepada itik.

Sudah Tinggi Dijulang Pula

Maksud : Sudah tinggi pangkat dipermuliakan pula. Ayat Contoh : Sudah adat dunia, orang yang berpangkat tinggi dimuliakan dan bertambah darjatnya. Bak kata orang, sudah tinggi dijulang pula.

Sudah Tua Dari Kakak, Sudah Cerdik Dari Mamak

Maksud : Anak muda yang sombong dan tidak mahu bermuafakat dengan kaum keluarga dalam sesuatu pekerjaan. Ayat Contoh : “Kami yang sudah tua ini memang tidak berguna untuk kamu. Apa-apa jua keputusan yang kamu ambil tidak pernah berbincang dengan kami, maklumlah sudah tua dari kakak, sudah cerdik dari mamak,” kata Habibollah kepada anak buahnya.

Sudu-Sudu Di Tepi Jalan

Maksud : Seseorang yang tidak akan terkena oleh bencana. Ayat Contoh : Didikan agama yang cukup serta keimanan yang teguh menjadikan seseorang itu seperti sudu-sudu di tepi jalan kerana tidak mudah kecundang akan pelbagai pesona yang memusnahkan diri.