Sukakan Kemenyan, Dibakar

Maksud : Pengetahuan yang baik hendaklah disebar seluas-luasnya. Ayat Contoh : “Ilmu agama yang saya ajarkan ini jangan terhenti di sini sahaja kerana tuan patut menyebarkannya kepada semua ahli keluarga yang tidak dapat hadir pada hari ini, sukakan kemenyan, dibakar,” kata Ustaz Ahmad.

Sukat Air Menjadi Batu

Maksud : Kerja yang mustahil. Ayat Contoh : Pada zaman dahulu, manusia menganggap kewujudan kenderaan yang boleh terbang di udara seperti sukat air menjadi batu tetapi dengan kesungguhan para pencipta akhirnya terciptalah kapal terbang.

Sumbang Di Mata, Binasa Hati

Maksud : Tingkah laku yang tidak baik menimbulkan anggapan jahat. Ayat Contoh : Perbuatan suami isteri itu bercumbuan di khalayak ramai merupakan perbuatan yang tidak bertamadun kerana sumbang di mata, binasa hati.

Sumbing Meluaki, Retak Melampaui Garis

Maksud : Berbuat kurang sopan termasuk kesalahan besar. Ayat Contoh : Pihak berkuasa hendaklah bertindak tegas bagi membendung kegiatan mana-mana pihak yang membuat dan menjual pita-pita video lucah kerana kegiatan itu sumbing meluaki, retak melampaui garis yang pastinya sangat berbahaya kepada minda rakyat.

Sumbing Menitik, Patah Mengimpal

Maksud : Barang yang dipinjam kalau rosak hendaklah dibaiki. Ayat Contoh : Apabila kereta yang dipinjamnya terlibat dalam kemalangan, Johari terpaksa menanggung semua perbelanjaan membaiki kereta tersebut kerana sumbing menitik, patah mengimpal.

Sumpit Penuh Tidak Berisi

Maksud : Orang bodoh berlagak pandai; orang miskin berlagak kaya. Ayat Contoh : Setiap kali pulang berhari raya di kampung, Armizan akan menyewa sebuah kereta dan berlagak kaya, padahal dia sebenarnya sumpit penuh tidak berisi kerana terpaksa berhutang untuk berlagak begitu.

Sumur Digali Air Terbit

Maksud : Hasil yang diperoleh serta-merta. Ayat Contoh : Banyak orang kampung suka bekerja di sawah Penghulu Dagang kerana dia akan membayar upah sebaik-baik sahaja kerja selesai, sumur digali air terbit.