Terhimpit Hendak Di Atas, Kekurangan Hendak Di Luar

Maksud : Tidak mahu bertanggungjawab terhadap kesalahan sendiri; mahu melepaskan diri daripada kerugian. Ayat Contoh : Pengetua sekolah itu tidak pandai mentadbir menyebabkan dia melepaskan tanggungjawabnya kepada penolong kanan dan kaunselor. Baginya kalau berlaku kelemahan, merekalah yang akan disalahkan, terhimpit hendak di atas, kekurangan hendak di luar.

Terikat Kaki Tangan

Maksud : Tidak bebas dan tidak berkuasa lagi. Ayat Contoh : Rahman sudah terikat kaki tangan apabila dihukum buang daerah kerana menjadi pengedar ubat batuk kepada penagih-penagih dadah.

Terjatuh Dihimpit Jenjang

Maksud : Berturut-turut ditimpa kesusahan. Ayat Contoh : Riduan bukan sahaja tertipu akibat membeli tanah paya dengan harga yang mahal, malah terpaksa membayar kadar bunga yang tinggi kerana berhutang daripada ceti untuk membeli tanah tersebut. Dia diibaratkan terjatuh dihimpit jenjang.

Terkantung-Kantung Macam Biduk Patah Kemudi

Maksud : Sengsara di rantau orang dan tiada orang yang akan menolong. Ayat Contoh : Abdul Rahman hidup terkantung-kantung macam biduk patah kemudi setelah kakinya putus akibat kemalangan di tempat kerja manakala untuk kembali ke negaranya dia tidak berwang.

Terkejar-Kejar Bagai Kucing Jatuh Anak

Maksud : Tergopoh-gapah kerana sesuatu kesusahan. Ayat Contoh : Setiap pagi, sebelum ke tempat kerja, Takiuddin akan terkejar-kejar bagai kucing jatuh anak kerana terpaksa menghantar anak-anaknya ke taman asuhan dan ke sekolah.

Terkena Buku Buluh

Maksud : Kerana terlalu memilih, akhirnya mendapat sesuatu yang buruk. Ayat Contoh : “Aku sangkakan setelah bertahun-tahun memilih, isteri yang kau dapat tentulah mengalahkan puteri, rupa-rupanya terkena buku buluh,” kata Ahmad kepada Maslan.

Terkena Pada Ikan Bersorak, Terkena Pada Batang Masam

Maksud : Orang mencari kawan kerana mahukan keuntungan sahaja dan tidak mahu susah atau rugi; dapat untung riang, jika rugi berasa pula marah. Ayat Contoh : Hidup berkawan bukanlah semata-mata semasa senang sahaja kerana kita perlu juga sama-sama menanggung susah. Janganlah bersikap terkena pada ikan bersorak, terkena pada batang masam.