Terlalu Dikadang, Mentah

Maksud : Oleh sebab terlalu hendak memperoleh sesuatu maka hasilnya menjadi buruk. Ayat Contoh : Ghani membina kolam dan air terjun mini di luar dan di dalam rumah supaya rumahnya menjadi menarik, malangnya air yang bertakung itu menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Itulah akibatnya jika terlalu dikadang, mentah.

Terlampau Duka Terurah Buntil, Terlampau Suka Terurah Rahsia

Maksud : Apabila terlampau duka atau susah, maka akan terjual segala barang simpanan. Apabila terlampau suka pula akan terbuka segala rahsia. Ayat Contoh : Lumrah hidup di dunia ini, jika seseorang terlalu susah akan habis harta benda dan kalau terlalu gembira terlupa akan segala rahsia yang selama ini tersimpan, terlampau duka terurah buntil, terlampau suka … Read more

Terlampau Lurus, Kurus, Terlampau Cerdik, Terkedek

Maksud : Hendaklah pandai-pandai membawa diri dalam pergaulan (jangan terlalu jujur dan jangan terlalu cerdik). Ayat Contoh : Dalam situasi kerja, sudah menjadi perkara biasa bahawa orang yang terlalu jujur akan diperguna habis-habisan oleh orang atasan atau rakan sekerja, manakala yang terlalu cerdik dan bijak bercakap akan dikenakan sekatan menyebabkan kerjanya menjadi sukar, terlampau lurus, … Read more

Terlangsung Perahu Boleh Balik, Terlangsung Cakap Tak Boleh Balik

Maksud : Sebelum bercakap hendaklah berhati-hati, kalau sudah terlanjur tidak dapat ditarik balik. Ayat Contoh : Rushdan telah melafazkan talak tiga kepada isterinya, kemudian dia berasa amat kesal kerana tidak berfikir panjang ketika melafazkannya. Walau bagaimanapun, terlangsung perahu boleh balik, terlangsung cakap tak boleh balik.

Terlanjur Menyeluk Pekasam Biar Sampai Ke Pangkal Lengan

Maksud : Kalau sudah terbuat sesuatu kejahatan biarlah dapat hasilnya. Ayat Contoh : Perompak-perompak yang telah berjaya menyamun wang setengah juta ringgit daripada bank itu telah menembak mati semua pengawal keselamatan yang cuba menghalang usaha mereka. Bagi mereka terlanjur menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

Terlayang-Layang Bagai Bulu Sehelai

Maksud : Orang memandang ringan lantaran miskin, hina, atau anak dagang. Ayat Contoh : Kesusahan yang ditanggung Izzah anak-beranak tidak dipedulikan oleh orang-orang kampung kerana mereka merempat dan bukan berasal dari kampung tersebut. Hiduplah mereka terlayang-layang bagai bulu sehelai.

Terlekat Kersik Ke Buluh

Maksud : Melakukan sesuatu yang sia-sia atau tidak mungkin dapat dilakukan. Ayat Contoh : Amin membina kolam ikan di suatu lembah sungai yang sering ditenggelami banjir. Usahanya bagai terlekat kersik ke buluh kerana ikan-ikan akan terlepas apabila air sungai melimpah.

Terlepas Dari Mulut Buaya Masuk Ke Mulut Harimau

Maksud : Terlepas daripada satu bahaya atau ketakutan, ditimpa pula bahaya atau ketakutan yang lain. Ayat Contoh : Setelah tentera Jepun yang kejam itu keluar dari Tanah Melayu, penduduk Tanah Melayu dianiaya pula oleh Bintang Tiga. Keadaan ini samalah kata pepatah, terlepas dari mulut buaya masuk ke mulut harimau.

Terlintang Oleh Sanggul

Maksud : Suami yang selalu mengikut kata isterinya. Ayat Contoh : Mat Awang dikatakan terlintang oleh sanggul kerana tidak berani untuk membuat keputusan sendiri dalam apa-apa urusan yang berkaitan dengan keluarganya kerana isterinya yang akan memberi kata putus.