Tuba Binasa Ikan Tak Dapat

Maksud : Pekerjaan yang sia-sia dan merugikan Contoh Ayat : Viviana berhabisan wang ratusan ribu ringgit bagi memancing undi, malangnya dia tewas juga dalam pilihan raya itu, tuba binasa ikan tak dapat.

Tujuh Kali Pindah Jadi Papa

Maksud : Pekerjaan yang tidak tetap akan mendatangkan kerugian. Contoh Ayat : Hassan tidak pernah kekal lama dengan sesuatu pekerjaan kerana dia mudah jemu. Keadaan itu menyebabkan dia tidak berpeluang untuk naik pangkat atau menyimpan harta. Bak kata orang, tujuh kali pindah jadi papa.

Tukang Tidak Membuang Kayu

Maksud : Orang yang cerdik akan sayang kepada segala macam orang kerana setiap mereka itu ada gunanya. Contoh Ayat : Zaliha tetap memberi kasih sayang kepada anaknya yang cacat itu sama dengan anak-anaknya yang lain kerana dia tahu bahawa anak itu tetap akan berguna juga suatu hari nanti, tukang tidak membuang kayu.

Tumbuh Di Tanah Gembur

Maksud : Anak gadis daripada keluarga yang mewah Contoh Ayat : Syah ada menyimpan hati terhadap Zana tetapi dia tidak berani masuk meminang kerana bimbang ditolak oleh gadis yang tumbuh di tanah gembur ini.

Tumbuk Tanak Pada Awak Sendiri

Maksud : Badan sendiri yang menangani semua hal kehidupan Ayat Contoh : Tidak mungkin sampai bila-bila kamu boleh bergantung hidup pada ibu bapa kerana mereka sudah tua, suatu masa nanti kamu terpaksa tumbuk tanak pada awak sendiri.

Tunggal Berbeleng

Maksud : Yang hanya satu-satunya. Ayat Contoh : Apa-apa sahaja yang diingini akan dipenuhi oleh kedua-dua ibu bapa Sany kerana dia anak tunggal berbeleng.

Tunggang Hilang Berani Mati

Maksud : Sikap gagah berani atau tidak gentar dalam menjalankan tugas terutama untuk membela bangsa dan negara. Ayat Contoh : Leftenan Adnan dan pasukannya sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan negara daripada penjajahan Jepun. Mereka tunggang hilang berani mati.