Rimbun-Rimbun Ditutuh, Semak-Semak Disiangi

Maksud : Sesuatu barang hendaklah dijaga baik-baik supaya selamat. Ayat contoh : Anak-anak Roy Victor menjadikan rumah pusaka peninggalan mendiang ibu bapa mereka sebagai muzium keluarga untuk mengekalkan semua harta peninggalan mendiang di situ. Bagi mereka rimbun-rimbun ditutuh, semak-semak disiangi.

Rindu Ada Batasnya, Maka Manis Akan Jadi Cuka

Maksud : Jangan terlalu mesra bergaul dengan orang kerana nanti akan menimbulkan dendam kesumat. Ayat contoh : Walaupun engkau berkawan rapat dengannya, namun janganlah mesra yang keterlaluan. Aku bimbang jika berlaku perselisihan, persahabatan mudah menjadi renggang kerana rindu ada batasnya, maka manis akan jadi cuka.

Ringan Mulut, Berat Punggung

Maksud : Banyak bercakap tetapi malas meninggalkan tempat duduk. Ayat contoh : Perempuan gemuk yang menjadi tukang masak itu ringan mulut, berat punggung kerana selalu menyuruh orang lain untuk mengambil barang-barang yang diperlukannya.

Ringan Tulang, Berat Perut

Maksud : Sesiapa yang rajin bekerja, dia akan beroleh rezeki yang banyak. Ayat contoh : Meskipun kerjanya tidak pernah tetap, namun hidup Zahidi dan keluarganya tidak pernah kesempitan kerana sikapnya yang ringan tulang, berat perut.

Roda Yang Berpaling, Kuda Sudah Digirindin

Maksud : Kelihatan sahaja senang hidupnya, tetapi sebenarnya susah. Ayat contoh : Wartawan itu memberitahu kami bahawa banyak artis yang kelihatan bergaya dan hidup mewah tetapi sebenarnya mereka seperti roda yang berpaling, kuda sudah digirindin.

Rosak Tapai Kerana Ragi

Maksud : Pekerjaan yang dibuat dengan tidak hati-hati akan menyebabkan kerosakan atau kegagalan. Contoh Ayat : Sebagai akibat pihak pemaju tidak menanam cerucuk dengan sempurna, bangunan yang didirikan di atas bekas lombong itu retak sebelum dapat disiapkan lagi. Begitulah rosak tapai kerana ragi.

Rumah Gadang Perabung Upih

Maksud : Orang berbangsa tetapi miskin. Ayat contoh : Tengku Yaakob merupakan kerabat diraja tetapi dia terpaksa menjual tanah pusaka dan barang-barang antik di rumahnya untuk menyara hidup pada hari tuanya. Itulah yang dikatakan rumah gadang perabung upih.