Rusa Ditembak, Kijang Yang Kena

Maksud : Lain yang dituju, lain pula yang diperoleh. Ayat contoh : Fadhlan membuat laporan polis tentang kes penyelewengan wang syarikatnya dengan tujuan untuk menjatuhkan pegawai kanan yang dijangka akan merampas kedudukannya, malangnya apabila siasatan dibuat, adiknya sendiri yang terlibat. Keadaan ini seperti rusa ditembak, kijang yang kena.

Sabung Selepas Hari Petang

Maksud : Pertarungan akhir atau usaha yang terakhir. Ayat contoh : Hana mengulang kaji pelajaran dengan tekun kerana dia tahu bahawa peperiksaan tahun akhir itu sabung selepas hari petang.

Sahaja Basahan

Maksud : Sudah menjadi kebiasaan membuat sesuatu misalnya kejahatan. Ayat contoh : Meminum arak dan hubungan seks bebas sudah menjadi sahaja basahan kepada sesetengah remaja zaman sekarang.

Sahaja Basahan, Jadi Air Mandi

Maksud : Biasa membuat perkara tidak baik, jika diketahui suka bersumpah palsu. Ayat contoh : Halim memang suka menipu dan berbohong tetapi apabila tembelangnya pecah dia sanggup bersumpah untuk menegakkan kebenarannya. Baginya, perkara itu merupakan sahaja basahan, jadi air mandi.

Sakit Kepala Panjang Rambut, Patah Selera Banyak Makan

Maksud : Pada lahirnya tidak suka padahal sebenarnya suka sekali. Ayat contoh : Syahir menyatakan bahawa dia tidak suka akan Maisarah yang terlalu pendiam itu tetapi sebenarnya dalam diam-diam dia telah menghantar wakil untuk meminang Maisarah untuknya. Dia seperti sakit kepala panjang rambut, patah selera banyak makan.

Sakit Menimpa, Sesal Terlambat

Maksud : Perbuatan terlanjur yang tidak dapat diubah lagi. Ayat contoh : Rahimi telah ditangkap dan didakwa kerana terlibat dengan rasuah, namun penyesalan yang timbul selepas itu sudah tidak berguna lagi kerana sakit menimpa, sesal terlambat.

Salai Tak Berapi

Maksud : Wanita hamil tanpa suami. Ayat contoh : Disebabkan malu kerana salai tak berapi, banyak perempuan yang terlibat mengambil keputusan membuang bayi mereka.

Salangkan Bah Kapar Tak Hanyut, Inikan Pula Kemarau Panjang

Maksud : Sedangkan waktu muda malas, inikan pula waktu tua. Ayat contoh : Encik Saiful berpendapat bahawa Encik Sham tidak patut diambil mengajar semula secara kontrak kerana dia sudah hilang minat terhadap tugas sejak beberapa tahun sebelum bersara lagi. Bak kata orang, salangkan bah kapar tak hanyut, inikan pula kemarau panjang.