Sayang Anak Sepanjang Penggal, Sayang Orang Tua Sepanjang Jalan

Maksud : Sayang anak kepada ibu bapa terbatas, manakala sayang ibu bapa kepada anak tiada batasan. Ayat Contoh : Jamali sanggup mengikut telunjuk isterinya yang amat disayangi tanpa mempedulikan perasaan ibu bapanya yang membelanya dengan kasih sayang sejak kecil lagi. Begitulah sayang anak sepanjang penggal, sayang orang tua sepanjang jalan.

Sayang Buah Kepayang, Dimakan Mabuk Dibuang Sayang

Maksud : Keadaan yang serba salah kerana menghadapi kekasih yang curang. Ayat Contoh : Carl memang tahu bahawa isterinya mempunyai teman lelaki dan sering mengabaikan rumah tangga tetapi dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana sayang buah kepayang, dimakan mabuk dibuang sayang.

Sayap Singkat Terbang Hendak Tinggi

Maksud : Hendak membuat sesuatu pekerjaan yang melebihi kemampuan. Ayat Contoh : Pak Fairuz jatuh sakit setelah mengerjakan tanah bendangnya yang luas itu seorang diri walaupun dia sudah tua. Begitulah kalau sayap singkat terbang hendak tinggi.

Sealak-Alak Beras Ada Penyalang

Maksud : Anggaran belanja yang secukup-cukupnya. Ayat Contoh : Aiman membawa wang ke pasar sealak-alak beras ada penyalang. Dengan itu, dia akan membeli barang yang mahu dibeli sahaja dan tidak membeli barang-barang yang tidak begitu diperlukan.

Sebab Berkelahi Dengan Perigi Akhirnya Mati Dahaga

Maksud : Jangan menentang orang yang berkuasa kerana kita juga yang akan mendapat kesusahan. Ayat Contoh : Ratu bergaduh dengan tuan rumah menyebabkan dia dihalau dari situ dan kini terpaksa merempat kerana tiada tempat tinggal. Bak kata orang, sebab berkelahi dengan perigi akhirnya mati dahaga.

Sebab Budi, Boleh Kedapatan

Maksud : Kelakuan sendiri yang menyebabkan kerugian atau kerosakan. Ayat Contoh : Kalau berbuat sesuatu perkara tanpa memikirkan baik dan buruknya terlebih dahulu, dikhuatiri akan menyusahkan diri sebab budi, boleh kedapatan.

Sebab Kasih Akan Bunga Setangkai, Dibuang Bunga Seceper

Maksud : Kerana kasih akan seorang, disia-siakan orang yang banyak. Ayat Contoh : Lantaran melebihkan isteri muda yang baru dinikahinya itu, Kamal sanggup mengabaikan tanggungjawabnya kepada isteri tua dan anak-anaknya. Sikapnya yang seperti sebab kasih akan bunga setangkai, dibuang bunga seceper menyebabkan rumah tangganya porak-peranda.