Satu Hadap Bagai Kukuran

Maksud : Orang yang mahir dalam satu pekerjaan sahaja. Ayat Contoh : Apabila lombong bijih timah terpaksa ditutup kerana harga logam itu terlalu rendah, Ip Man yang diberhentikan kerja terpaksa menganggur kerana dia hanya tahu menjadi pelombong, satu hadap bagai kukuran.

Satu Kata, Satu Perbuatan

Maksud : Kata yang sesuai dengan amalnya. Ayat Contoh : Meskipun Yunus seorang ketua yang pendiam, namun dia disegani oleh anak buahnya kerana apa-apa sahaja yang dikatakannya akan ditunaikan seperti satu kata, satu perbuatan.

Satu Nyawa, Dua Badan

Maksud : Sehidup semati (sahabat atau suami isteri). Ayat Contoh : Pasangan suami isteri yang hidup bahagia itu sama-sama meninggal dunia pada minggu yang sama kerana sakit tua. Mereka dikatakan satu nyawa, dua badan.

Satu Pintu Kalau Tertutup, Sepuluh Pintu Lagi Terbuka

Maksud : Orang yang mahir dalam pelbagai pekerjaan, kalau dibuang kerja masih ada peluang untuk membuat kerja lain. Ayat Contoh : Walaupun diberhentikan kerja, namun Raudhah mudah mendapat kerja yang lain kerana ijazah dan pengalamannya sangat diperlukan oleh syarikat kewangan yang lain. Bak kata orang, satu pintu kalau tertutup, sepuluh pintu lagi terbuka.

Satu Sangkar Dua Burung

Maksud : Dua orang perempuan berebutkan seorang lelaki. Ayat Contoh : Rumah tangga Abu Hassan porak-peranda kerana isteri-isterinya enggan berdamai. Begitulah kalau satu sangkar dua burung.

Sauk Air Mandikan Diri

Maksud : Hidup dengan usaha sendiri atau berdikari. Ayat Contoh : Meskipun terpaksa membanting tulang untuk mencari nafkah, namun Bob lebih suka sauk air mandikan diri daripada mengharapkan belas kasihan orang lain.

Sawah Berpermatang, Ladang Berbintalak

Maksud : Sesuatu perkara itu ada batas atau hadnya. Ayat Contoh : Berpuasa sepanjang hari memang melaparkan tetapi kalau membeli dan menyediakan makanan biarlah sekadar yang diperlukan, jangan berlebih-lebihan dan membazir kerana sawah berpermatang, ladang berbintalak.

Sawah Luas Tahan Tua, Rumah Gedang Tahan Tonggak

Maksud : Jika meminjam wang, wajib ada orang yang menjaminnya. Ayat Contoh : Pihak bank sedia meluluskan pinjaman berjumlah seratus ribu ringgit itu kepada Encik Omar jika dia dapat menyediakan dua orang penjamin kerana sawah luas tahan tua, rumah gedang tahan tonggak.

Sayang Anak Badak Tampung, Cucu Konon Badak Raya

Maksud : Seorang yang bukan bangsawan tetapi mengaku kerabat diraja. Ayat Contoh : Raja Azami ialah anak orang biasa yang berasal dari kampung tetapi mengaku bahawa dialah kerabat terdekat sultan yang memerintah negeri sehingga dia dikatakan sayang anak badak tampung, cucu konon badak raya.