Sampan Ada Pengayuh Tidak

Maksud : Kekurangan syarat untuk melakukan sesuatu. Ayat Contoh : Ismail sudah cukup wang tetapi tidak dapat menunaikan haji pada tahun lepas kerana tidak mendapat kelulusan visa haji daripada kedutaan Arab Saudi. Hal ini kerana dia menggunakan syarikat pengurusan haji swasta yang tidak bertauliah, begitulah sampan ada pengayuh tidak.

Samun Sakal Berdarah Tangan

Maksud : Sesuatu yang diperiksa atau disiasat hendaklah ada bukti. Ayat Contoh : Polis boleh mendakwa seseorang itu atas tuduhan melakukan jenayah kalau ada bukti yang jelas kerana samun sakal berdarah tangan.

Sangkar Emas, Tenggeran Suasa

Maksud : Lelaki yang menunggu bakal isterinya dengan rumah yang cantik dan cukup peralatannya. Ayat Contoh : Edry telah menyediakan sangkar emas, tenggeran suasa untuk bakal isterinya kerana dia mahu perempuan yang hidup bersama-samanya berasa bahagia.

Santan Dibalas Dengan Tuba

Maksud : Kebaikan dibalas dengan kejahatan. Ayat Contoh: Sebagai anak sulung, Normah sanggup membanting tulang untuk menyekolahkan adik-adiknya sehingga berjaya ke universiti, namun setelah mereka bekerja di bandar, mereka tidak pernah menjenguk Norman. Begitulah santan dibalas dengan tuba.

Santan Di Pasu, Hampas Pun Ke Tanah

Maksud : Dibuang sesudah tidak berguna. Ayat Contoh : Apabila badannya lumpuh separuh badan akibat kemalangan di tempat kerja dan tidak mampu bekerja lagi, Dadali dibuang kerja oleh majikannya. Nasibnya seperti santan di pasu, hampas pun ke tanah.

Sapu Baru Menyapu Bersih

Maksud : Aktiviti yang pantas atau cepat (rajin) pada permulaannya sahaja. Ayat Contoh : Sikap Emirah yang tidak pernah menyudahkan kerjanya itu seperti sapu baru menyapu bersih.

Sarak Itu Adik Mati

Maksud : Berasa mati kerana rindu akan seseorang. Ayat Contoh : Apabila anak yang sangat dikasihinya menghilangkan diri tanpa khabar berita, Qasidah menjadi seperti orang tidak siuman kerana terlalu merindui anaknya itu. Dia merasakan sarak itu adik mati.

Sarang Unam Dimasuki Ketam Menjadi Umang

Maksud : Barang atau orang yang sama jika berlainan keadaan dan tempatnya akan berlainan namanya. Ayat Contoh : Ketika berada di kampung, gadis itu dipanggil dengan nama Salina tetapi setelah bekerja di bandar dia mahu dikenali sebagai Sally, sarang unam dimasuki ketam menjadi umang.

Satu Detup, Sepuluh Rebah

Maksud : Seorang yang disindir semua yang hadir turut tersinggung. Ayat Contoh : Satu detup, sepuluh rebah apabila pengerusi menegur seorang ahli mesyuarat yang suka bercakap-cakap di belakang tetapi banyak yang terasa kerana kebanyakan mereka juga berbual dalam mesyuarat itu.